Mesin air layan diri tak berlesen disita

Wazir menunjukkan salah satu mesin penapis air yang disita Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam operasi diadakan di seluruh negeri di sini, semalam.
A
A

KEPALA BATAS - Tidak mempunyai lesen dan terdapat tuntutan kesihatan yang meragukan antara kesalahan yang dikesan terhadap 48 mesin air layan diri atau Water Vending Machine yang disita Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam operasi diadakan di seluruh negeri di sini, semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu, mengesan mesin mesin air layan diri yang kebanyakannya dipasang di hadapan premis kedai dan mendapati ia tidak diselenggara dengan baik.

Menurutnya, pihaknya mendapati terdapat mesin layan diri yang tiada penutup di bahagian mengisi air dan ia boleh mengundang kepada kehadiran binatang dan pencemaran kuman.

"Kita dapati terdapat juga iklan yang dipasang pada mesin kononnya air penapis mempunyai pelbagai kebaikan sehingga mampu menyembuhkan penyakit hingga boleh memperdaya pengguna.

Wazir menyita salah satu mesin penapis air selepas didapati tidak mempunyai lesen ketika melakukan operasi di seluruh negeri di sini, semalam.
Wazir menyita salah satu mesin penapis air selepas didapati tidak mempunyai lesen ketika melakukan operasi di seluruh negeri di sini, semalam.

"Perbuatan ini salah salah di sisi undang-undang kerana ia adalah tuntutan perubatan yang tidak sah dan mendapat pengesahan daripada pihak Jabatan Kesihatan," katanya pada sidang media di sini, semalam. Operasi berkenaan disertai lebih 30 anggota penguatkuasa termasuk penguatkuasa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) dan pegawai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.

Sementara itu, Wazir berkata, sebelum ini pihaknya memberi peluang kepada syarikat-syarikat mesin air untuk memohon lesen namun sehingga hari ini mereka gagal berbuat demikian (mohon lesen).

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh selama enam bulan untuk syarikat-syarikat mesin air layan diri itu tampil memohon lesen dan jika masih gagal berbuat demikian mereka akan di kenakan tindakan undang-undang.

"Tindakan penyitaan itu di buat menurut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada lesen serta mengiklankan mampu menyembuhkan penyakit.

"Kami akan meneruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikat mematuhi peraturan dan orang ramai mengambil berat serta mahu memberi kesedaran supaya air yang diminum pengguna adalah berkualiti dan selamat," katanya.