Bakar al-Quran: Panggil Duta Sweden beri penjelasan

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, pada Sabtu. (Gambar dalam : Ahmad Fadhli)
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, pada Sabtu. (Gambar dalam : Ahmad Fadhli)
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda Pas menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi memberi penjelasan berhubung tindakan negara itu terhadap pemimpin parti politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, langkah itu perlu kerana tindakan Paludan sesuatu yang jelas tidak bertamadun.

“Pemuda Pas menggesa agar kerajaan Sweden mengenakan tindakan tegas terhadap beliau (Paludan) sesuai dengan kesalahan jahat yang telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu media melaporkan, Paludan bertindak membakar senaskhah al-Quran pada 21 Januari lalu sebagai tanda bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Pemimpin itu bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun berbuat demikian selepas Turkiye dilapor membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan ekstrem berkenaan menzahirkan kemunafikan politik yang diamalkan Barat yang selama ini kononnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam berpolitik.

“Pemuda Pas mempersoalkan tindakan tidak bertamadun Rasmus Paludan, apakah dengan berbuat sedemikian, ketidakpuasan hati beliau dan pengikutnya akan dapat diselesaikan? Sudah tentu tidak.

“Kami menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam yang ada serta pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam di samping mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem ini,” tegasnya.