Wanita lari dari serbuan polis dikhuatiri lemas

Jeti Tanjung Punai,Batu 3 dipercayai lokasi mangsa terjatuh ketika lari dari serbuan polis pada Jumaat (Gambar kecil: Wan Mohd Zahari)
Jeti Tanjung Punai,Batu 3 dipercayai lokasi mangsa terjatuh ketika lari dari serbuan polis pada Jumaat (Gambar kecil: Wan Mohd Zahari)
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke Sungai Belat ketika cuba lari dari serbuan polis di Jeti Tanjung Punai, Batu 3 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia 42 tahun itu dipercayai penagih dadah.

Menurutnya, kehilangan wanita itu dilaporkan salah seorang anaknya (pengadu) di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Sabtu.

"Menurut pengadu, ibunya disyaki terjatuh ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri dari polis dalam serbuan tersebut.

"Susulan itu, sepasukan anggota ke lokasi untuk siasatan awal sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama pihak bomba," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal berdasarkan maklumat keluarga mendapati, mangsa sering ke lokasi terbabit untuk menghisap dadah dan ketika kejadian ada saksi ternampak wanita itu jatuh ke dalam sungai.

"Menurut saksi yang juga seorang warga asing, dia ternampak mangsa jatuh dan cuba menyelamatkannya namun gagal kerana keadaan air pasang selain berarus deras.

Anggota bomba melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di Sungai Belat dalam kejadian pada Jumaat.
Anggota bomba melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di Sungai Belat dalam kejadian pada Jumaat.

"Operasi SAR digerakkan jam 3 petang pada Sabtu melibatkan kawasan pencarian sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh selain rondaan menggunakan bot di sepanjang Sungai Belat," ujarnya.

Beliau berkata, operasi SAR melibatkan 23 anggota terdiri pihak polis, pasukan polis marin dan bomba.

"Operasi SAR di tangguhkan kira-kira jam 7 malam ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada Ahad," katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari berkata, operasi Ops Tapis di lokasi itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Katanya, dalam operasi bermula jam 6 petang hingga 8 malam itu, enam individu berjaya ditahan membabitkan dua tangkapan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan empat tangkapan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.