Kadar perceraian membimbangkan

Jumlah perceraian tertinggi berlaku pada golongan yang berusia 30 hingga 34 tahun. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Nurul Syafawani
Jumlah perceraian tertinggi berlaku pada golongan yang berusia 30 hingga 34 tahun. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Nurul Syafawani
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan trend perceraian bagi pasangan beragama Islam saban tahun dilihat semakin membimbangkan.

Peguam Syarie, Nurul Syafawani Rahim berkata, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan sejumlah 45,420 kes perceraian dalam kalangan umat Islam yang telah didaftarkan di seluruh negara pada tahun 2021.

“Jumlah perceraian tertinggi berlaku pada golongan yang berusia 30 hingga 34 tahun.

“Terdapat kecenderungan untuk pasangan kini mengambil jalan mudah dengan memutuskan ikatan perkahwinan yang telah dimeterai tanpa mahu melalui proses sulh.

“Mereka menganggap pengalaman berada dalam ikatan perkahwinan lebih membebankan khususnya dalam senario kewangan keluarga yang mencengkam pasca pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Nurul Syafawani menjelaskan, antara faktor utama berlakunya peningkatan kadar perceraian adalah disebabkan masalah kewangan.

Menurutnya, kegagalan mengurus kewangan keluarga menyebabkan beban hutang semakin tinggi, sekali gus mendatangkan tekanan kepada ahli keluarga.

“Faktor kedua yang turut menyumbang adalah tekanan emosi dan hilang kawalan diri. Rentetan tekanan ini menyebabkan keganasan dan penderaan fizikal serta emosi pasangan.

“Faktor ketiga adalah pasangan tidak sekufu atau perkahwinan antara dua darjat. Latar belakang pasangan yang berbeza bagaikan langit dan bumi turut menjadi punca berlakunya ketidaksefahaman,” jelasnya.

Tambah beliau, perkahwinan merupakan satu akad kontrak yang dibenarkan hukum syarak bagi meraikan naluri insan dan antara objektif utamanya adalah untuk pasangan itu bersenang-senang.

Ujarnya, keadaan itu memerlukan persefahaman yang wujud daripada kedua-dua belah pasangan.

“Namun akibat kejahilan dalam ilmu rumah tangga, sedikit kesilapan dan kelemahan pasangan terus sahaja menjadi punca yang menyemarakkan lagi api permusuhan antara pasangan.

“Akibatnya, lafaz talak dan cerai menjadi zikir harian yang akhirnya tidak dapat dipertahankan lagi dan akibatnya berlakulah talak tanpa fikiran yang rasional,” ujarnya.

Nurul Syafawani turut menasihatkan setiap pasangan memberi sokongan sekiranya mengetahui pasangan masing-masing terperangkap dalam tekanan atau masalah.

Selain itu, tambahnya, penyelesaian lain yang boleh dibuat adalah menyediakan kursus perkahwinan yang lebih komprehensif seperti pengurusan kewangan dan pendidikan rumah tangga bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga pada setiap tiga hingga lima tahun.

“Dengan cara ini, pasangan dapat memberi idea dan gambaran dalam mendepani krisis yang dihadapi,” tambah beliau.