Kanak-kanak disyaki didera hanya boleh tulis ABC, 123

Mohd Zaid (Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
Mohd Zaid (Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
A
A
A

KAJANG - Keluarga atau waris kepada kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera yang ditemui ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras dekat sini, pada 13 Januari lalu masih belum dapat dikesan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, usaha telah dilaksanakan untuk mengesan keluarga dan waris mangsa.

"Sehingga kini kanak-kanak ini (mangsa) masih tidak boleh berkomunikasi dengan sempurna tetapi boleh menulis perkara asas pembelajaran huruf seperti ABC dan 123," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penterjemah warga asing juga telah dipanggil untuk berkomunikasi dengan mangsa semasa berada di hospital tetapi mangsa tidak memberikan sebarang respons yang positif untuk bercakap.

Katanya, mangsa kini disahkan sihat dan stabil serta masih berada di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang.

"Mangsa telah diserahkan di bawah penjagaan serta pemantauan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai pelindung.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat mengenai kes terbabit dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," ujarnya.

Tambah Mohd Zaid, polis menyeru orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini agar memaklumkan kepada pihaknya segera dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zaiyaudi Mohd Yaakub di talian 019-5355395 untuk menyalurkan maklumat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mangsa berusia lingkungan tiga hingga empat tahun itu ditemui orang awam yang kemudian menghubungi polis kira-kira jam 11.30 malam.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan di beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi.

Mangsa juga disyaki anak warga negara asing kerana tiada mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu selain tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan.

End