'Tak layan permintaan naikkan harga rumah mampu milik Johor'

Mohd Jafni (enam dari kiri) merakam kenangan bersama penerima sijil selepas Program J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C Taman Bandar Putra di Dewan Bandar Putra, Kulai, pada Jumaat.
Mohd Jafni (enam dari kiri) merakam kenangan bersama penerima sijil selepas Program J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C Taman Bandar Putra di Dewan Bandar Putra, Kulai, pada Jumaat.
A
A
A

KULAI - Kerajaan Johor tidak akan melayan permintaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Johor yang mendesak untuk menaikkan harga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) 100 peratus berikutan peningkatan kos bahan binaan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, permintaan Redha Johor itu keterlaluan malah sukar diterima kerana akan membebankan pembeli khususnya golongan B40.

"Bagaimanapun pihak kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) bersetuju untuk menaikkan harga RMMJ bagi kategori A dan B manakala kategori C dikekalkan pada harga sedia ada.

"Menyedari faktor kos barang yang naik sehingga 30 hingga 40 peratus, PKPJ bersetuju untuk menaikkan harga RMMJ kategori A daripada RM42,000 kepada RM50,000 dan kategori B daripada RM80,000 kepada RM100,000.

"Sementara itu, rumah kategori C pula dikekalkan kepada RM150,000. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memberi situasi menang-menang kepada pemaju dalam masa sama tidak membebankan pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C Taman Bandar Putra di Dewan Bandar Putra di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif PKPJ, Dr Suhailizan Suliman.

Beliau berkata, berdasarkan polisi sedia ada, kerajaan negeri sudah membenarkan pemaju membina 60 peratus rumah mewah tetapi perlu memenuhi syarat supaya membina RMMJ bagi kapasiti 40 peratus lagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbincangan untuk menaikkan harga RMMJ kategori A dan B itu melibatkan Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) antara pemaju rumah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas mengenai projek perumahan sakit di negeri ini, Mohd Jafni memberitahu, pihaknya dalam proses akhir menyiapkan Taman Residensi Kota Tinggi yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, sebuah 'taskforce' yang diwujudkan bersama pihak pemaju dengan agensi negeri dan pusat akan menguruskan masalah teknikal dialami sejak lapan bulan lalu.

"Taman Residensi ini dalam proses akhir disiapkan dan dijangka akan melakukan penyerahan kunci kepada 625 pembeli menjelang Mac ini," ujar beliau.

Fokus selesai 8,970 penduduk setinggan di JB

Dalam perkembangan lain, Mohd Jafni berkata, kerajaan Johor sedang merancang untuk menyelesaikan masalah 8,970 penduduk setinggan yang masih menduduki penempatan haram di sekitar daerah ini.

Menurutnya, proses itu melibatkan pelbagai peringkat dan mengambil masa kerana tapak tanah yang diduduki mereka dimiliki pelbagai pihak.

"Bagi orang tempatan yang menduduki kawasan setinggan, biasanya kita bincang tawar rumah lain contohnya PPR (Program Perumahan Rakyat) kepada dia. Proses ini sedang berjalan dan tertumpu di kawasan-kawasan tepi sungai khasnya terutama di Skudai dan Tebrau.

"Kita selesaikan isu setinggan daripada pelbagai sudut kerana ada mereka yang tinggal di tanah milik kerajaan (negeri), tanah milik kerajaan Persekutuan, tanah milik swasta dan tanah milik GLC (syarikat berkaitan kerajaan)," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program J-Home One Stop Center di Dewan Bandar Putra di sini pada Jumaat.

Menurutnya, bagi penduduk setinggan warga tempatan yang menduduki tanah kerajaan Persekutuan dalam tempoh yang lama antara 40 hingga 50 tahun, perbincangan akan diadakan dengan mereka.

Jelasnya, kerajaan negeri melakukan proses pemindahan secara berperingkat dan tidak bertindak melulu terus merobohkan rumah setinggan sebaliknya memberikan notis kepada penduduk terbabit dan pada masa sama menawarkan rumah di tempat lain.

Mohd Jafni berkata, selepas tiga bulan notis dikeluarkan langkah memotong bekalan elektrik dan kemudian bekalan air akan dilakukan sebelum proses merobohkan rumah mereka dilakukan.

"Kita tidak agresif tangani setinggan pada tahun lepas kerana baru lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), cuma (apabila ada) melibatkan kacau ganggu dan kawasan (setinggan berhampiran) sungai terlalu kotor baru kita buat penguatkuasaan," tegasnya.

Beliau memberitahu, terbaharu pihak kerajaan negeri melakukan pemutihan dengan memindahkan 50 keluarga yang bukan warga tempatan dari kawasan Tangga Batu di sini selain di Skudai dan Tebrau.

Sementara itu, seorang penerima sijil layak menduduki rumah mampu biaya dalam program berkenaan, Luqman Nur Hakim Md Nonazam@Md Noraizam, 25, merasa bertuah dan teruja dipilih serta layak menduduki kediaman berkenaan.

Beliau yang masih bujang dan tinggal bersama ibu bapanya di Pulai Indah di sini bersyukur dan menganggapnya rezeki sebelum berkahwin.

"Rumah ini akan menjadi persediaan saya sebelum berkahwin. Rasa lega dan seronok, terima kasih," kata anak tunggal itu yang bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri.

Seorang lagi penerima sijil tersebut, Nur Aliesya Syakierah Mohd Razip, 26, yang menyewa di Kampung Melayu di Johor Bahru, tidak menyangka layak menduduki rumah tersebut selepas memohonnya pada 2019.

"Saya terkejut dan bersyukur kerana dalam usia muda dapat sijil ini. Saya akan tinggal bersama ibu di rumah baharu apabila semua urusan selesai nanti," kata anak kedua daripada lima beradik dan masih belum berkahwin itu.