Menanti EV mampu milik keluaran Proton

Proton dalam proses untuk mengenal pasti model yang bersesuaian untuk EV yang lebih mampu milik dan praktikal. - Foto hiasan/Bernama
Proton dalam proses untuk mengenal pasti model yang bersesuaian untuk EV yang lebih mampu milik dan praktikal. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

PENGGUNAAN kenderaan elektrik (EV) bukanlah sesuatu yang asing di negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana telah diperkenalkan sejak lebih 10 tahun lalu.

Namun tahap penggunaan kenderaan ‘canggih’ dan bersifat lebih mesra alam itu boleh dikatakan masih lagi rendah di Malaysia.

Tidak dinafikan faktor harga yang lebih mahal berbanding kenderaan berasaskan petrol atau diesel menjadi faktor kenderaan model sedemikian kurang menjadi pilihan rata-rata rakyat di negara ini.

Malah, ketika ini EV hanya dilihat sebagai kenderaan yang mampu dimiliki golongan kaya memandangkan harganya yang mahal.

Bagaimanapun, pengumuman pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd bahawa kemungkinan akan mempercepatkan pengenalan EV yang bersesuaian untuk digunakan oleh pengguna Malaysia seawal tahun 2025 berbanding perancangan awal pada 2027 sememangnya sesuatu yang mengujakan.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, pihaknya pada masa ini dalam proses untuk mengenal pasti model yang bersesuaian untuk EV yang lebih mampu milik dan praktikal.

Ujarnya, pihaknya ketika ini sedang mengenal pasti bersama dengan Geely untuk mempercepatkan projek berkenaan selari dengan kerajaan untuk memastikan Proton dapat mempercepatkan projek kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, Roslan memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perancangan berkenaan, sebaliknya meminta semua pihak bersabar dengan perkembangan terbaharu yang akan dimaklumkan nanti.

Perkembangan terbaharu yang dikongsikan Proton itu juga selari dengan langkah yang diambil kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap penggunaan EV.

Pastinya seluruh rakyat tidak sabar menunggu bagaimana bentuk dan harga yang bakal ditawarkan Proton untuk EV ‘keluaran Malaysia’ itu nanti.

Sudah tentu harga mampu milik dan fungsi yang setara dengan EV keluaran luar negara menjadi harapan mereka.

Pada hujung Mac lalu, Dewan Rakyat turut diberitahu, kerajaan menyasarkan sejumlah 1.5 juta EV dalam negara menjelang 2040.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, sasaran itu susulan berlaku gerakan ‘penghijrahan’ bagi infrastrukur EV peringkat global, membabitkan pertukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan petrol kepada EV.

Beliau berkata, sasaran baharu itu juga meningkat berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) sebelum ini, iaitu sejumlah 90,000 kenderaan EV pada 2040.

Di sebalik kesungguhan kerajaan untuk ‘mempopularkan’ penggunaan EV di Malaysia, namun pembinaan infrastruktur kenderaan itu perlu diberi keutamaan.

Infrastruktur paling penting adalah pembinaan pusat mengecas yang mencukupi bagi menampung jumlah penggunaan kenderaan tersebut apabila ia diperkenal secara meluas nanti.

Tanpa adanya infrastruktur yang bersesuaian dengan ‘teknologi’ yang ingin dibawa masuk ia pasti akan merencatkan usaha peralihan ke EV.

Pada 14 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan RM90 juta bagi membina kemudahan stesen pengecas pantas arus terus (DC) EV di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Pengarah Program Pejabat Pengurusan Projek Kenderaan Elektrik TNB, Mohd Junaizee Mohd Noor berkata, terbaharu agensi itu telah membina tiga stesen pengecas di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Ayer Keroh di Melaka, Tapah di Perak dan Paka di Terengganu.

Malah katanya, TNB menyasarkan untuk membina tujuh lagi stesen pengecas DC di Malaysia sehingga akhir tahun ini di Lebuhraya Utara- Selatan.

Selain itu, Mohd Junaizee turut memberitahu TNB juga dalam perancangan membina stesen pengecas DC EV di jalan raya utama.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan promosi atau kempen secara serius mengenai kebaikan penggunaan EV kerana ia bukan sahaja menjimatkan dari segi petrol, malah membantu mengurangkan pencemaran udara.

Pemanasan global yang semakin hari semakin meningkat ketika ini mungkin boleh dikurangkan dengan penggunaan EV yang diketahui mampu mewujudkan persekitaran lebih baik buat generasi akan datang dengan mengurangkan kadar pencemaran daripada kenderaan.

Bukan itu sahaja, EV tidak lagi dilihat sebagai kenderaan gaya untuk orang kaya tetapi dipilih kerana faktor menjaga udara yang lebih sihat untuk dinikmati semua pihak.

* Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian