PM umum RM1 bilion naik taraf prasarana sempadan Sarawak, Sabah

Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan tersebut dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.

"Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan CIQS sempadan dari segi keselamatan dan meningkatkan keupayaan CIQS dan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat seperti terlalu daif,” kata beliau.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini pada Jumaat, beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri kabinet Persekutuan dan negeri.

Anwar turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa hari ini.

"Permohonan ini telah diminta (oleh kerajaan Sarawak) sudah lama dan saya berpendapat ini tiada masalah.

"Yang penting syaratnya (untuk lantikan ini ialah) mereka mesti profesional dan mempunyai pengalaman dan tentunya (Wan Lizozman) punyai kelayakan dan ini boleh membantu LHDN,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengumumkan pengecualian cukai bagi pemberian bonus kepada semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri.

"Sekarang ini bonus diberikan kerajaan negeri tertakluk kepada cukai, tetapi atas permintaan Abang Johari dan saya rasa ia munasabah, bonus akan dikecualikan dari cukai dan ini terpakai untuk semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri,” kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: