Pantai Sungai Kajang adalah kawasan hutan simpan paya bakau

Loy Sian (gambar kecil) dan laporan Sinar Harian.
Loy Sian (gambar kecil) dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

BANTING - Kawasan Pantai Sungai Kajang di Tanjong Karang yang disita baru-baru ini adalah hutan simpan paya bakau di Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menyita kawasan itu adalah langkah untuk memelihara hutan simpan paya bakau tersebut.

"Kita nak pelihara pokok paya bakau di kawasan itu kerana telah berlaku pencerobohan yang merosakkan persekitaran terutama pokok itu.

"Bukan kita nak sekat pengunjung yang datang (keluar beriadah). Kita nak menjaga alam sekitar di sana. Terlalu ramai orang di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Festival Tanglung dan Bunga di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen di sini malam Khamis.

Mengulas sama ada sebarang tindakan bakal diambil terhadap binaan yang telah dibina di kawasan itu, Loy Sian berkata, beliau akan berbincang dengan Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berhubung perkara tersebut.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi sebelum ini menggesa JPNS untuk memberi penjelasan berhubung tindakan sita yang dibuat pada 10 Januari lepas.

Dalam perkembangan lain, Loy Sian berkata, kerajaan negeri akan membangunkan sistem permohonan permit dalam talian untuk memudahkan kemasukan pengunjung ke kawasan hutan simpan yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

Katanya, setakat ini, permohonan permit untuk memasuki kawasan hutan simpan masih dilakukan secara manual iaitu di JPNS.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, JPNS memaklumkan pembukaan semula Taman Eko Rimba dan aktiviti pendakian di Selangor bermula 1 Februari depan dan ia meliputi enam Taman Eko Rimba serta jalur pendakian di tiga kawasan iaitu daerah Hutan Hulu Selangor, Hutan Selangor Tengah dan Hutan Pantai Klang. - Bernama