Jangan hina pengundi muda sokong PN

Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Adzman ketika mengulas berhubung keyakinan Pas tawan Selangor pada PRN akan datang. Gambar kecil: Mohamed Sukri
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Adzman ketika mengulas berhubung keyakinan Pas tawan Selangor pada PRN akan datang. Gambar kecil: Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menempelak kenyataan Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Adzman Kamaruddin yang didakwa menghina tahap intelek pengundi muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya yakin pengundi Selangor dipandu dengan ilmu serta nasihat yang bermanfaat menerusi khutbah Jumaat disampaikan setiap minggu yang menyeru penyatuan ummah.

Menurutnya, pengundi muda juga memiliki akses mendapatkan liputan yang lebih meluas selari perkembangan teknologi dunia menerusi medium media sosial.

"Kita boleh lihat ucapan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang terus menerus memperlekeh intelek pengundi muda khususnya pengundi kali pertama berusia 18 tahun dan ke atas.

"Sedangkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun telah dibahas panjang dalam Parlimen dan mendapat persetujuan serta sokongan bagi usul tersebut," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Adzman bahawa Pas menggunakan kempen di media sosial pada PRU15 khususnya TikTok untuk mempengaruhi pengundi yang cetek pengetahuan tentang politik dan agama.

Adzman berkata demikian selepas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyatakan keyakinan parti itu dan PN mampu mengambil alih Selangor daripada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kata Mohamed Sukri, pimpinan PH dilihat mulai sedar dengan gelombang pemuda yang bangkit memilih PN berbanding PH mahupun BN dalam PRU15 lalu.

"Pada zaman ini, umur 18 tahun berbeza dengan generasi terdahulu dari segi memperolehi maklumat kerana maklumat lebih terbuka luas.

Artikel Berkaitan:


"Jika PRU14 lalu, PH berjaya mengaburi pengundi dengan naratif jahat, namun pada PRU15 pengundi lebih matang dalam saringan maklumat. Jika dahulu PH dilihat seakan menguasai naratif di media sosial namun kini sebaliknya," katanya.

Dalam masa sama katanya, Pemuda Pas Selangor akan terus komited dengan kerja-kerja menawan negeri itu pada PRN akan datang.

"Insya-ALLAH kita yakin gelombang PRU15 yang terarah kepada PN akan diteruskan dalam PRN di enam negeri akan datang termasuk di Selangor," katanya.