PRN: PN ada peluang menang di Selangor - Pas

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang baik untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor walaupun gabungan parti lawan cuba menafikan perkara tersebut.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keyakinan itu bersandarkan beberapa perkembangan mutakhir dan beberapa faktor yang ternyata menyumbang ke arah kenyataan itu.

"Sesungguhnya rakyat di negeri Selangor sudah muak dengan siri-siri pembohongan dan janji-janji palsu Pakatan Harapan (PH) dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.

"Calon-calon PH dan Barisan Nasional (BN) kecundang di enam kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malah BN gagal memenangi walau satu kerusi pun di Selangor.

"PH dilihat tidak memiliki kemampuan membawa imej dikehendaki rakyat dalam pentadbiran tambahan apabila mereka sanggup berkerjasama dengan BN yang selama ini diserang sebagai kleptokrat dan serba pincang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berkata, rakyat Selangor juga masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan daripada kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri ini.

Menurutnya, ia termasuklah dalam isu kos hidup, peluang pekerjaan, perumahan, isu banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.

"Rakyat Selangor inginkan sebuah kerajaan negeri berwibawa penuh berintegriti dan dapat membela nasib serta kehidupan mereka disamping membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji-janji tetapi gagal membantu dan menangani permasalahan rakyat," katanya lagi.

Ahmad Yunus berkata, berdasarkan faktor tersebut dan mengambil kira 'gelombang hijau' yang membawa kemenangan besar pada Pas dan PN dalam PRU15 termasuk undi dari anak-anak muda.

"Pas yakin akan mampu mengambil alih kerajaan negeri bersama PN dengan menjanjikan sebuah pentadbiran bersih dan stabil sebagaimana dikehendaki rakyat di negeri," katanya.