Kenderaan Kelantan bertambah 15 peratus

Kenderaan mula masuk ke Kelantan yang menyebabkan keadaan sesak.
Kenderaan mula masuk ke Kelantan yang menyebabkan keadaan sesak.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kenderaan masuk ke Kelantan dijangka bertambah sehingga 15 peratus pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina tahun 2023 bermula pada Rabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pertambahan kenderaan itu juga menyebabkan lebih 50 lokasi kawasan khas yang dikenal pasti akan menjadi sesak.

“Perantau pulang ke kampung misalnya dari Kuala Lumpur akan melalui empat pintu masuk utama ke Kelantan iaitu di Gua Musang, Jeli dan dua di Pasir Puteh.

“Mereka akan tertumpu di lokasi-lokasi seperti hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta jalan-jalan dalam negeri ketika musim perayaan ini yang akan menyebabkan pertambahan kesesakan,” katanya ketika ditemui pada Pemantauan Op Selamat 19/2023 Tahun Baharu Cina di Sekatan Jalan Raya di Balai Polis Bukit Yong, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran trafik, sejumlah 334 anggota dan pegawai bertugas sempena op yang melibatkan mereka dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah serta Keselamatan Komuniti (JPJKK).

“Mereka akan ditempatkan di kawasan-kawasan khas yang akan turut membuat pemeriksaan berkaitan lesen memandu selain memberi perhatian kepada kes-kes warga asing yang membawa kenderaan tanpa lesen.

“Pemeriksaan juga akan dilakukan terhadap pengguna jalan raya yang memandu kereta yang disewa untuk dipastikan mempunyai lesen dan memandu dengan cermat di jalan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya di Bukit Yong, Pasir Puteh pada Khamis.
Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya di Bukit Yong, Pasir Puteh pada Khamis.

Muhamad Zaki menambah, pihaknya mahu mengekalkan pengurangan kadar kemalangan sepertimana yang dicapai dalam op sama sebelum ini.

“Op Selamat Tahun Baharu Cina pada tahun lalu mencatat 363 kemalangan iaitu menurun sebanyak 152 kes atau 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kematian juga berkurang dengan banyak dan itu yang kita mahu kekal selain menjamin keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan perantau ketika pulang bercuti,” katanya.

Menurut beliau, komitmen juga diperoleh daripada semua jabatan yang berperanan menyampaikan mesej kempen keselamatan jalan raya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta majlis perbandaran.