Wabak ASF: Lima ladang babi ditutup di Perak

Sivanesan (kiri) memeriksa label produk makanan yang dijual di di sebuah premis di Ipoh pada Khamis sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Sivanesan (kiri) memeriksa label produk makanan yang dijual di di sebuah premis di Ipoh pada Khamis sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
A
A
A

IPOH - Lima ladang ternakan babi di Perak ditutup ekoran kes positif demam babi Afrika (ASF).

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata, penutupan itu melibatkan satu ladang di daerah Kuala Kangsar dan empat di Batang Padang.

Menurutnya, tindakan telah diambil dengan melupuskan 8,990 ekor babi yang melibatkan kerugian sebanyak RM12 juta.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa penyakit itu tidak boleh merebak kepada manusia.

"Kita tidak perlu takut dan saya mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

"Sehingga kini tiada peningkatan kes dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas memeriksa premis pada Operasi Label Makanan Sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Tahwil Azar di sini pada Khamis.

Menurut Sivanesan, ASF boleh dicegah dan penyebaran itu berpunca daripada kesilapan manusia yang tidak menitikberatkan soal kebersihan.

"Penyakit ini tersebar daripada individu yang pergi ke ladang tidak steril diri sendiri sebelum memasuki ladang lain bukannya disebabkan bawaan haiwan itu.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, keadaan itu tidak menjejaskan bekalan daging babi sempena perayaan kali ini," katanya.

Sementara itu, Sivanesan berkata, sebanyak 12 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983 dalam pemeriksaan di 75 premis seluruh negeri.

Tambah beliau, pemeriksaan selama tiga hari sejak Isnin lalu melibatkan hamper produk makan dan produk makanan berkaitan perayaan ini.

"Bagi aktiviti pemeriksaan makanan, sebanyak 228 jenis barangan bernilai RM6,116.99 telah disita dengan pelbagai kesalahan yang melibatkan label makanan.

"Sebanyak 12 sampel limau mandarin juga telah diambil secara rawak untuk dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisa racun makhluk perosak," katanya.

Sivanesan mengingatkan penjual supaya melakukan pemantauan kendiri ke atas produk makanan, manakala pengguna pula perlu bijak memilih makanan dengan membaca label terlebih dahulu.