4 kes demam babi Afrika di Perak sejak Disember

Sebanyak 12.1 peratus daripada keseluruhan 91 ladang babi di Perak telah dijangkiti ASF. - Foto hiasan/Bernama
Sebanyak 12.1 peratus daripada keseluruhan 91 ladang babi di Perak telah dijangkiti ASF. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

IPOH - Perak melaporkan empat kes penyakit demam babi Afrika (ASF) melibatkan dua daerah dari Disember hingga awal tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan.

Beliau berkata, tiga kes positif ASF dikesan pada ternakan babi komersial iaitu satu di ladang di Bidor, di daerah Batang Padang dan dua lagi di Sungai Siput, di daerah Kuala Kangsar, antara Disember dan 3 Januari lepas.

"Pada 13 Januari satu lagi kes positif ASF dikesan di daerah Kuala Kangsar. Kes dikesan hasil survelan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dalam radius 10 kilometer (km) dari ladang yang dijangkiti.

"Ladang terlibat yang terletak di mukim Sungai Siput telah dikuarantin dan tindakan pemusnahan serta pelupusan baki ternakan babi di ladang itu akan dijalankan pada 17 Januari ini secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.

Menurutnya, kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif ASF di Perak adalah 11 kes sejak tahun lepas iaitu satu kes di Hilir Perak, Batang Padang (lima), Kerian (dua) dan Kuala Kangsar (tiga).

Sivanesan berkata, 12.1 peratus daripada keseluruhan 91 ladang babi di negeri ini telah dijangkiti ASF dan jumlah babi yang dilupuskan sebanyak 8,488 ekor melibatkan kerugian dialami penternak dianggarkan RM12 juta.

Beliau berkata, kesemua ladang yang disyaki dan disahkan dijangkit ASF telah diarahkan tindakan kuarantin, selain sekatan pergerakan di semua ladang yang terletak dalam dua km radius dari ladang terlibat dan ladang yang menggunakan kenderaan lori pengangkut babi yang sama sehingga survelan selesai.

Menurutnya, kesemua penternak babi dinasihatkan meningkatkan biosekuriti ladang bagi mengelakkan dijangkiti ASF dan menghubungi JPV jika terdapat kematian babi hutan atau babi komersial di kawasan mereka untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, bekalan daging babi di Perak adalah terkawal dan saya akan mengadakan perjumpaan bersama persatuan penternak dan pengarah JPV negeri untuk berbincang mengenai masalah ini kerana kemungkinan berlaku kekurangan bekalan sekiranya tidak ditangani segera.

"Kesemua ladang perlu ditukar kepada sistem penternakan moden yang tertutup, tetapi di Perak hanya 20 peratus daripada keseluruhan ladang yang sudah melaksanakannya dan kita jangka banyak ladang terpaksa ditutup sekiranya gagal berbuat demikian,” katanya. - Bernama