'Perlu berani tegur pemimpin jika mereka salah'

Badlishah Sham Baharin
Badlishah Sham Baharin
A
A
A

BANGI - Masyarakat perlu berani menegur pucuk pimpinan tertinggi negara, sekiranya mereka melakukan kesalahan.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, keberanian itu perlu dalam usaha memastikan negara tidak terkesan dengan perbuatan salah yang mereka lakukan.

Tegasnya, kegagalan menegur barisan pimpinan yang melakukan kesalahan boleh memberi kesan kepada ekonomi, sosial mahupun keharmonian negara.

"Kita kena menasihat atau menegur pemimpin yang lakukan kesalahan, jika mereka salah kita jangan ikut mereka dan sama sekali jangan kita bersikap terlampau taksub dengan pemimpin.

"Kita perlu ingat, jika pemimpin itu melakukan kesalahan korupsi misalnya, kesannya cukup besar kepada negara, jadi kita perlu berani menegur," katanya ketika menjadi panel forum bertajuk Tadbir Urus Berintegriti bersempena Konvensyen Tadbir Urus Berintegriti yang berlangsung di Bangi Golf Resort pada Khamis.

Konvensyen yang berlangsung selama sehari itu anjuran Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) dengan kerjasama Pertubuhan Ikram Malaysia, Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (SPE UPM).

Ia membabitkan penyertaan 100 peserta daripada pelbagai sektor termasuk daripada industri, agensi kerajaan, NGO dan Institusi Pengajian Tinggi.

Mengulas lanjut, Badlishah meminta rakyat mengambil cakna berhubung perkembangan negara dan sentiasa 'membuka mata dan telinga' terhadap tingkah laku pemimpin negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita (rakyat) kena sentiasa cerdas, jika kita hendak melihat perubahan yang positif ke atas negara ini, kita perlu sentiasa membuat 'latihan' sikit, pantau mereka (pemimpin).

"Jika ada yang tidak kena terus bersuara, kena lakukan semua itu... Insya-ALLAH akan ada perubahan yang besar di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu beliau berharap pemimpin terbuka dengan idea baharu dan pandangan daripada rakyat dalam mencari solusi kepada isu rasuah.

"Wakil rakyat kita sepatutnya buat dialog rakyat untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada ahli masyarakat," katanya.