Malaysia, Iran jalin kerjasama dalam bidang R&D pertanian

Mohamad Sabu dan Ali Asghar ketika pertemuan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 10 Januari lalu. - Foto Facebook Mohamad Sabu
Mohamad Sabu dan Ali Asghar ketika pertemuan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 10 Januari lalu. - Foto Facebook Mohamad Sabu
A
A
A

PUTRAJAYA - Iran bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Malaysia dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian serta teknologi dalam sistem terkini pengairan tanaman dan sistem pengurusan air.

Ia antara inti pati perbincangan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Duta Besar Iran di Malaysia, Ali Asghar Mohammadi dalam pertemuan yang berlangsung di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) di sini pada 10 Januari lepas.

MAFS dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pertemuan itu adalah untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Menurut kenyataan itu, satu perjanjian kerjasama dijangka ditandatangani antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (AREEO) yang berpangkalan di Tehran, tidak lama lagi.

MAFS memaklumkan, Iran juga mengharapkan kepakaran dan pengetahuan Malaysia dalam bidang akuakultur dalam membangunkan sektor berkenaan di Iran.

"Kedua-dua negara turut bersedia memperkukuh perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: