KSM tambah baik perlindungan pekerja tempatan, asing

Sivakumar menyampaikan faedah hilang upaya kekal kepada Julbigarali Abdul Rashid di ibu negara pada Khamis.
Sivakumar menyampaikan faedah hilang upaya kekal kepada Julbigarali Abdul Rashid di ibu negara pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menambah baik perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan pekerja tempatan dan asing.

Menterinya, V Sivakumar berkata, inisiatif tersebut melibatkan semakan semula dan pindaan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Keputusan itu katanya, dibuat untuk melancarkan proses permohonan faedah dan penyampaian manfaat keselamatan sosial tanpa sebarang keciciran.

"Akta 4 memberi perlindungan kepada pekerja di sektor formal termasuk pekerja asing dan pekerja domestik manakala Akta 800 bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan.

"Ini adalah salah satu komitmen yang akan saya laksanakan sebagai Menteri Sumber Manusia, demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya semasa berucap pada Majlis Tahun Baru Cina 2023 Perkeso di Hotel InterContinental dekat sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KSM, A Maniam.

Tambah Sivakumar, pelan perlindungan keselamatan sosial Perkeso turut meliputi individu bekerja sendiri dan suri rumah iaitu berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).

“Perkeso juga akan memperkenalkan perlindungan yang tidak berkaitan dengan bencana kerja, faedah cuti bersalin dan perlindungan warga tua.

Artikel Berkaitan:

"Semakan semula ke atas akta-akta tersebut telah bermula dan kementerian kini sedang mempersiapkan kertas kabinet untuk dibentangkan kepada kepada Jemaah Menteri.

"Saya berharap usaha ini akan dapat memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya dan pembangunan negara dapat dicapai secara inklusif," katanya.