Pinda hukuman lebih berat terhadap kes dera kanak-kanak

Gambar kecil: Muhamad Amin
Gambar kecil: Muhamad Amin
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Kanak-Kanak yang baharu ditubuhkan kerajaan perlu memperhalusi peruntukan undang-undang sedia ada agar hak kanak-kanak terus dimartabatkan.

Pengasas Yayasan Kebajikan Kanak-Kanak (Yakek), Muhamad Amin Fahmi berkata, ia termasuklah mengenakan hukuman yang sangat berat kepada pelaku kes penderaan kanak-kanak dan mendidik masyarakat supaya lebih menyayangi dan menghargai kanak-kanak.

“Isu penganiayaan dan pencabulan hak asasi kanak-kanak kini dilihat bukan suatu perkara yang asing lagi dalam masyarakat. Sudah tiba masanya kerajaan ambil langkah proaktif dalam menangani masalah tersebut.

“Yakek antara pemegang taruh signifikan yang memperjuangkan hak kanak-kanak, bersedia untuk bersama-sama Suruhanjaya Kanak-Kanak menggembleng tenaga memberi input penting dalam usaha membentuk dasar serta polisi mesra kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mesyuarat kabinet pada Rabu bersetuju untuk mewujudkan segera Pesuruhjaya Kanak-Kanak dalam usaha menangani kes penderaan dan masalah sosial melibatkan insan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pesuruhjaya itu akan menganggotai cabang khas yang autonomi di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Sementara itu, Muhammad Amin menambah, suruhanjaya tersebut diharap dapat bertindak dengan lebih efisien dan efektif dalam memastikan sebarang isu mengenai kanak-kanak mendapat pembelaan.

“Mudah-mudahan kes-kes penderaan kanak-kanak tiada lagi direkodkan di Malaysia dan negara menjadi contoh terbaik di dunia dalam hal memartabatkan kepentingan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.

Artikel Berkaitan: