Bekas askar tetak pegawai polis

Mohd Adli (tengah) menunjukkan parang yang digunakan suspek untuk menetak inspektor dan kenderaan AADK pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah pada Rabu.
Mohd Adli (tengah) menunjukkan parang yang digunakan suspek untuk menetak inspektor dan kenderaan AADK pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah pada Rabu.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor menerima lima jahitan di tangan kiri selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, inspektor berusia 30 tahun mengetuai serbuan ke atas suspek yang juga bekas tentera berpangkat sarjan.

Beliau memberitahu, ketika serbuan suspek berusia 40 tahun itu tiba-tiba meluru ke arah pegawai berkenaan dengan memegang dua bilah parang dan menetak tangan kiri serta bahu kanan inspektor itu.

"Suspek kemudian terus melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit di belakang bahagian rumah itu sebelum ditahan pasukan serbuan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah di sini pada Rabu.

Tambah beliau, suspek yang juga seorang duda ditamatkan perkhidmatan kerana masalah disiplin.

"Lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan tiga rekod berkaitan dadah," katanya.

Beliau memberitahu, inspektor berkenaan dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Haki berkata, pada hari sama kira-kira jam 10.30 pagi, suspek telah menetak bahagian hadapan bonet dan sisi pintu belakang kereta penguat kuasa dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan katanya, suspek menggunakan parang sama ketika empat anggota penguat kuasa terbabit menyerbu rumah suspek melalui pintu belakang.

"Suspek yang menyedari kehadiran penguat kuasa terus melarikan diri melalui pintu belakang dengan memegang parang sebelum berlari menetak kereta," katanya.

Jelas beliau, suspek kini direman empat hari bermula Selasa dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana menakutkan secara jenayah, 427 KK (melakukan khianat) dan 332 KK.