Paip pecah antara punca tanah runtuh di MACA - Polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Takungan air di sebelah pagar Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan paip bawah tanah yang pecah dipercayai menjadi antara punca kejadian tanah runtuh di hadapan akademi itu yang terletak di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini kira-kira 1.30 tengah hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Unit Forensik Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan analisis dan mendapati kewujudan takungan air di luar pagar itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak tiga hari lepas.

"Selain itu, JKR juga mengesan paip pecah di bawah tanah akademi itu dan kedua-dua faktor terbabit menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar seterusnya berlaku kejadian tanah runtuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Menurut Eng Lai, semasa kejadian terdapat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas di luar pagar akademi itu dan mereka telah mendengar bunyi runtuhan tanah seterusnya melihat tanah di tepi pagar sudah runtuh.

Beliau berkata, anggota Rela terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan MACA dan sebaik mereka sampai dalam sekelip mata berlaku runtuhan susulan dianggarkan seluas 30.48 x 36.57 meter persegi yang turut melibatkan pondok pengawal.

"Kita telah membuat tindakan awal dengan mengarahkan 38 pekerja di MACA dan 38 pekerja di Institut Integriti Malaysia yang terletak bersebelahan akademi itu supaya keluar dan berpindah ke kawasan selamat,” katanya.

Menurut Eng Lai, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dan hanya pondok pengawal yang runtuh selain beberapa kenderaan terperangkap di dalam kawasan akademi berkenaan kerana runtuhan turut melibatkan satu-satunya jalan keluar/masuk ke akademi milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

"Sebenarnya, terdapat kursus melibatkan kira-kira 70 rekrut baharu SPRM di akademi itu dan mereka sedang bercuti sempena Aidilfitri, dan sepatutnya pulang malam ini.

"Mereka telah diarahkan supaya tidak perlu pulang dahulu susulan kejadian ini kerana keadaan masih lagi tidak selamat,” katanya.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul E. Yogeswaran berkata, lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.54 tengah hari. - Bernama