Lelaki kudung tangan kiri berjalan kaki ke Makkah

Herry Nizam mengemas kini misi perjalanannya dari Bidor ke Makkah menerusi akaun TikTok. - Foto ihsan pembaca
Herry Nizam mengemas kini misi perjalanannya dari Bidor ke Makkah menerusi akaun TikTok. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki bertekad memulakan perjalanan secara solo dengan berjalan kaki sejauh 10,161 kilometer (km) dari Bidor ke Makkah, Isnin lalu.

Kisah Herry Nizam menerusi akaun TikToknya, @herrynizam4 itu mula mendapat perhatian warganet yang turut memberi sokongan terhadap misi perjalanannya ke Tanah Suci itu.

Menerusi video yang dimuat naik, lelaki yang kudung tangan kiri itu memulakan perjalanan dengan menggalas sebuah beg bersama sehelai Jalur Gemilang.

Berdasarkan hantaran itu, dia memaklumkan akan merentas 12 negara bermula dengan Thailand ke Arab Saudi.

Difahamkan pemuda itu telah berada di Sadao, Thailand, Khamis lalu.

"Assalamualaikum semua sahabat yang saya kasihi, sekarang dah sampai dekat Sadau Thailand, lusa (Sabtu) baru jalan semula ke Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, UAE dan Arab Saudi.

"Doa kalian jambatan buat saya ke rumah ALLAH SWT," kongsinya di TikTok.

Berdasarkan peta perjalanan di aplikasi Google Map, dia dijangka menempuh perjalanan berjalan kaki sejauh lebih 10,160km untuk tiba ke Makkah.

Berdasarkan peta itu, dia memerlukan masa selama 84 hari dan 10 jam bagi melengkapkan perjalanan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, misi sama pernah dijalankan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh 6,500km dengan berjalan kaki dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Makkah.

Adam yang memulakan perjalanan pada Ogos 2021 mengambil masa selama 11 bulan dan tiba di Tanah Suci Julai 2022 bagi menunaikan haji di usia 52 tahun.