Abang Iskandar angkat sumpah Presiden Mahkamah Rayuan

Abang Iskandar mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman pada Selasa. - Foto Bernama
Abang Iskandar mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada Selasa mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan iaitu jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman negara.

Abang Iskandar, 63, dari Sarawak, menggantikan Tan Sri Rohana Yusuf yang bersara pada November tahun lepas.

Beliau merupakan hakim pertama dari Sabah dan Sarawak yang dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pula mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sebli, 63, juga dari Sarawak, sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Mohamad Zabidin, 65, dari Kedah, menggantikan Tan Sri Azahar Mohamed yang bersara pada 27 Oktober tahun lepas.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nordin Hassan, 59, mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Rayuan ialah enam Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Datuk Azman Abdullah, 61; Datuk Azimah Omar, 60; Datuk Lim Chong Fong, 60; Datuk Collin Lawrence Sequerah, 62, Mohamed Zaini Mazlan, 55, dan Datuk Wong Kian Kheong, 58.

Sequerah merupakan hakim yang mendengar perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Mohamed Zaini pula adalah hakim yang mendengar kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta kes rasuah dan pengubahan wang haram isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel Berkaitan:

Hakim itu juga akan memutuskan pada 30 Januari ini sama ada Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Selain itu, 11 Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Datuk Norsharidah Awang, 62; Tee Geok Hock, 64; Datuk Zaleha Rose Pandin, 61; Alice Loke Yee Ching, 60; Datuk Azhar Abdul Hamid, 59; Dr Arik Sanusi Yeop Johari, 53; G Bhupindar Singh, 59; Mahazan Mat Taib, 55; Ahmad Murad Abdul Aziz, 63; Liza Chan Sow Keng, 65; dan Wan Muhammad Amin Wan Yahya, 50.

Seramai lima individu turut mengangkat sumpah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Zaharah Hussain yang sebelum ini merupakan Pendaftar Mahkamah Tinggi, M Sumathi (Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur), Dr Suzana Muhamad Said (Felo Kanan Undang-Undang Fakulti Ekonomi & Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia), Evawani Farisyta Mohammad (peguam Petronas) dan Dr Wendy Ooi Su Ghee (Rakan Kongsi Tetuan Gan & Zul).

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman itu ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh. - Bernama