Jawatan ahli majlis, ketua kampung di Perak ditamatkan

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung di negeri Perak yang dilantik sebelum ini telah ditamatkan perkhidmatan mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tamat perkhidmatan itu berkuat kuasa 31 Disember lepas melalui satu pekeliling melibatkan semua pemegang jawatan terlibat.

Menurutnya, lantikan baharu bagi posisi jawatan itu sedang diteliti oleh Exco berkaitan sebelum diluluskan.

"Kerajaan negeri sekarang sedang dalam proses untuk memilih orang-orang baharu bagi mengisi kekosongan itu.

"Untuk PBT, kita ada Yang Berhormat Sandrea Ng Shy Ching (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak) sebagai Exco bertanggungjawab yang akan menamakan mereka dan bawa ke peringkat Exco Kerajaan Negeri.

"Ahli-ahli majlis ini wakil parti, wakil pemerintah, jadi kita kena duduk semeja untuk mencapai persetujuan bagi melantik wakil-wakil parti di semua 15 PBT di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis pecah tanah Projek Perumahan Lahat Eco City dekat sini pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.

Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah menyempurnakan gimik pelancaran majlis pecah tanah Projek Perumahan Lahat Eco City pada Selasa.
Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah menyempurnakan gimik pelancaran majlis pecah tanah Projek Perumahan Lahat Eco City pada Selasa.

Saarani berkata, bagi lantikan ketua kampung pula, perkara itu akan dimuktamadkan sebaik mendapat format baharu lantikan dikeluarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, semasa pertemuan bersama Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau memaklumkan format baharu lantikan ketua kampung itu sedang disusun.

"Apabila kita dapat format itu, maka kita akan melakukan proses untuk memilih dan menamakan ketua-ketua kampung baharu bagi peringkat negeri Perak," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, permintaan bagi kategori rumah kos rendah dan sederhana ketika ini amat tinggi dalam kalangan rakyat terutamanya yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, unjuran pelan Perak Sejahtera 2030 menyasarkan pembinaan 17,000 rumah termasuk perumahan mampu milik, kos sederhana dan kos rendah sehingga tahun 2023.

"Sehingga hari ini, sebanyak 8,687 rumah sudah siap dibina manakala 12,133 sedang dalam pembinaan.

"Sebagai sebuah negeri yang mempunyai populasi penduduk yang kini mencecah 2.5 juta orang, kerajaan negeri berusaha memastikan pemilikan rumah mampu milik termasuk menerusi inisiatif Rumah Perak Sejahtera 2030 akan terus menjadi antara agenda penting yang perlu dijayakan," katanya.

Pembangunan perumahan Lahat Eco City meliputi tanah seluas 33 hektar itu dibangunkan menerusi kerjasama syarikat pemaju tempatan Mysuccessland Sdn Bhd yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi merealisasikan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana kepada anggota MBI berpangkat rendah.

Projek hartanah itu melibatkan sejumlah 392 unit rumah pangsa kos rendah, 404 unit rumah pangsa kos sederhana dan 669 unit rumah teres setingkat kos sederhana.