Pelantikan ketua kampung di Perak secara berfasa

Saarani menerima aduan daripada penduduk yang hadir pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak di ADTEC Taiping pada Khamis.
Saarani menerima aduan daripada penduduk yang hadir pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak di ADTEC Taiping pada Khamis.
A
A
A

TAIPING - Pelantikan baharu 829 ketua kampung Melayu di 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diselesaikan secara berperingkat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fasa pertama pelantikan itu melibatkan kampung Melayu di 33 DUN bawah kerajaan negeri dijangka selesai sebelum 22 Mei ini.

"Fasa kedua pula melibatkan pelantikan ketua-ketua kampung di 26 DUN yang diketuai pembangkang.

"Oleh kerana ketua kampung mesti dalam kalangan parti mewakili kerajaan sebab itu kita buat pemilihan secara berfasa dan berhemah," katanya kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pelantikan ketua kampung di 158 kampung baru Cina dan tujuh kampung India telah selesai dijalankan.

Tambah Saarani, kerajaan negeri tidak berdepan masalah dalam pemilihan ketua kampung sebaliknya mengikut garis di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Kita mengambil iktibar pelantikan ketua kampung sebelum ini yang ada masalah apabila pelantikan dibuat secara tangkap muat selain tidak mematuhi kriteria seperti melebihi usia dan mempunyai rekod jenayah.

"Kali ini kita lakukan saringan pastikan individu itu betul-betul layak. Kementerian mensyaratkan seorang ketua kampung itu hendaklah bermastautin di kampung terbabit barulah dia dihormati.

"Kita buat secara berhati-hati supaya ketua kampung dan kabinetnya berfungsi seperti sepatutnya," katanya.