400 peniaga berjaya dapat permit bazar Ramadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seramai 400 peniaga berjaya membuat permohonan permit bazar Ramadan di bawah Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) secara dalam talian yang dibuka sejak 5 Januari lalu sehingga Khamis ini.

Setiausahanya, Mohamad Yusli Askandar berkata, pihaknya menerima sebanyak 614 permohonan untuk mendapatkan permit bazar Ramadan dan Bazar Raya melalui sistem iBazar sehingga ke hari ini.

Beliau menjelaskan, terdapat 14 lokasi bazar Ramadan dan Bazar Raya disediakan di daerah Kuala Selangor dengan penambahan lokasi di Terminal Bas Bandar Malawati Kuala Selangor; Astana Alam Fasa 3 Puncak Alam; Alam Jaya Puncak Alam dan Jalan Dataran Suria 15/7/1 Puncak Alam.

Infografik mengenai permohonan dalam talian iBazar yang mula dibuka bermula dari 5 hingga 19 Januari ini.
Infografik mengenai permohonan dalam talian iBazar yang mula dibuka bermula dari 5 hingga 19 Januari ini.

"Jumlah tapak disediakan oleh pihak MPKS untuk bazar Ramadan tahun ini pula sebanyak 850 tapak dan Bazar Raya sebanyak 280 tapak dengan keseluruhannya sebanyak 1,130 tapak," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, beliau menafikan berlaku masalah dalam sistem iBazar sehingga menyebabkan kegagalan mengakses sebagaimana dakwaan beberapa pihak sebelum ini, kecuali isu dihadapi peniaga kerana terlupa kata laluan.

Beliau berkata, Unit Teknologi Maklumat MPKS menerima sekurang-kurangnya 15 aduan secara bersemuka dan juga panggilan telefon berhubung kesulitan peniaga-peniaga bazar Ramadan mengakses sistem iBazar berpunca daripada kata laluan tersebut.

"Perkara ini menyebabkan peniaga tidak dapat mengakses sistem iBazar dan bukan disebabkan kegagalan sistem ini berfungsi dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamad Yusli memberitahu, MPKS sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan sistem daripada semua pihak dan akan meningkatkan mutu perkhidmatan dari masa ke masa mengikut prosedur baharu Jabatan Pelesenan MPKS.

"Sistem Permohonan bazar Ramadan dan Bazar Raya MPKS (iBazar) ini telah mula digunakan pada tahun 2018 sehingga ke hari ini," kata beliau.