2 termasuk warga Singapura tak mengaku rasuah polis RM90,000

Kedua-dua suspek (baju cerah) diiringi polis di mahkamah pada Selasa.
Kedua-dua suspek (baju cerah) diiringi polis di mahkamah pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki termasuk seorang warganegara Singapura mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan secara bersama memberikan suapan wang tunai bernilai RM90,000 kepada seorang pegawai polis di Johor Bahru, Oktober tahun lalu.

Law Wen Xiang, 32, dan Donavan Sia Qi Xun, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memberikan rasuah iaitu suapan wang tunai RM90,000 kepada seorang pegawai polis di hadapan sebuah restoran di sini, kira-kira jam 5.45 petang pada 17 Oktober lalu sebagai balasan tidak dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bagi pertuduhan utama, Wen Xiang dan Donavan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, Wen Xiang dan Donavan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Choon Yew kemudiannya mencadangkan agar kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bahru, sekali setiap bulan.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Wen Xiang, K Veeranesh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM40,000 berikutan Wen Xiang yang kini tinggal bersama ibunya hanya bekerja membaiki telefon bimbit dengan gaji RM2,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Mohamad Isa Mohd Basair yang mewakili Donavan turut memohon jaminan dikurangkan antara RM30,000 hingga RM40,000 susulan tertuduh yang juga warganegara Singapura pernah dituduh di Mahkamah Majistret sebelum ini sebelum tuduhan berkenaan digugurkan, telah menunjukkan rasa hormat kepada undang-undang di negara ini.

Hakim Ahmad Kamal Arifin kemudiannya bersetuju kedua-dua tertuduh dijamin RM40,000 setiap seorang dalam bentuk cagaran wang tunai dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor di Johor Bahru, sebulan sekali tanpa gagal.

Kes akan disebut semula pada 19 Februari 2023 dengan urusan serahan dokumen kepada mahkamah.