Dua penjawat awam ditahan SPRM disyaki terbabit rasuah

Dua penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah agensi untuk kepentingan sendiri. - Gambar hiasan
Dua penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah agensi untuk kepentingan sendiri. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Dua penjawat awam di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah pertubuhan demi kepentingan sendiri.

Kedua-dua penjawat awam masing-masing berusia 37 dan 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini pada jam 7.30 malam Isnin.

Menurut sumber SPRM Negeri Sembilan, kedua-dua suspek bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini masing-masing sebagai pegawai dan pembantu tadbir.

"SPRM Negeri Sembilan membuat tangkapan terhadap dua penjawat awam kerana disyaki menggunakan jawatan dan kedudukan untuk meminta dan menerima sejumlah sumbangan daripada beberapa ahli kehormat dan bersekutu pertubuhan terbabit.

"Sumbangan dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek, isteri dan syarikat milik isteri dikatakan untuk kepentingan dirinya sendiri. Kesalahan dikesan dilakukan dari 2020 hingga 2022," katanya pada Selasa.

Menurutnya, Majistret Naziah Mohd Alias di Mahkamah Majistret Seremban membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula Selasa hingga Ahad depan.

"Suspek kini ditempatkan di lokap SPRM Negeri Sembilan sementara menunggu siasatan lengkap," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya.