Kerajaan Johor bantu keluarga jemaah hilang di Makkah

Mohd Fared ( kiri) menyampaikan bantuan MAINJ kepada Mohammad Nabil di Sri Gading Batu Pahat, pada petang Isnin.
Mohd Fared ( kiri) menyampaikan bantuan MAINJ kepada Mohammad Nabil di Sri Gading Batu Pahat, pada petang Isnin.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor akan membantu keluarga jemaah umrah, Musthafa Kamal Abdullah, 49 yang dilaporkan hilang di Makkah pada 12 Disember lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada keluarga jemaah tersebut.

"Dua orang anak Musthafa Kamal, iaitu Muhammad Nabil, 26 dan Muaz, 17 akan berangkat ke Makkah pada Jumaat ini. Sumbangan tersebut diharap dapat membantu perbelanjaan kedua-duanya anak itu untuk ke sana bagi mencari ayah mereka.

"Namun, bantuan MAINJ tidak terhad di situ sahaja. Jika terdapat keperluan lain, perkara tersebut boleh dimaklumkan kepada pihak MAINJ dan kami sentiasa terbuka untuk membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Musthafa Kamal di Sri Gading di sini, pada petang Isnin.

Mohd Fared berkata, garis panduan bagi mengelakkan jemaah umrah mahupun haji hilang di Tanah Suci sewajarnya perlu dirangka kerajaan.

"Saya kira perkara ini (garis panduan) memang perlu diketengahkan sebagai usaha memastikan keselamatan rakyat kita yang pergi keluar negara menerusi agensi pelancongan dapat dijaga dengan lebih baik.

"Oleh itu, saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan agensi pelancongan di Johor bagi membincangkan isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd Fared memberitahu, masjid-masjid di kawasan Sri Gading dan Batu Pahat telah mengadakan solat hajat dan bacaan yasin bagi mendoakan keselamatan Musthafa Kamal.

Pada 6 Disember lalu, Musthafa yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dijangka pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, bapa kepada lima orang anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.

Satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi berhubung kehilangan Musthafa.

Pada Jumaat lepas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan Musthafa yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.