PQJ lupus al-Quran mengikut syarak

Fadzli (kiri) menunjukkan kaedah melupuskan al-Quran kepada pelajar Tahfiz Madrasah Tahfizul Quran al-Furqan.
Fadzli (kiri) menunjukkan kaedah melupuskan al-Quran kepada pelajar Tahfiz Madrasah Tahfizul Quran al-Furqan.
A
A
A

BATU PAHAT – Umat Islam di negeri ini tidak lagi perlu gusar mengenai kaedah yang dilaksanakan bagi melupuskan al-Quran dengan kewujudan pusat pelupusan yang dikelolakan Pertubuhan Peluk Quran Johor (PQJ).

Pengerusinya, Fadzli Md Salleh berkata, PQJ yang telah mula beroperasi sejak tiga tahun lalu antara salah satu pusat melupuskan al-Quran serta kitab agama di dalam negeri ini yang mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Di PQJ ini, segala proses melupuskan bermula daripada pengasingan, menimbang, membakar, membongkah dan seterusnya membuang abu ke dalam laut semuanya dilakukan mengikut adab yang ditetapkan.

“Semua kerja-kerja itu dilakukan dengan penuh teliti mengikut ketetapan olah JAINJ termasuk ketika melakukan pembuangan abu al-Quran di tengah laut dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam dari tepi pantai agar ia terus mulia walaupun sudah menjadi abu,” katanya.

Beliau ditemui ketika Bengkel Pelupusan al-Quran kepada 60 pelajar Tahfiz Madrasah Tahfizul Quran al-Furqan di PQJ di Kampung Haji Ghaffar, Batu 6,Yong Peng, di sini, semalam.

Menurutnya, antara pihak yang menghantar al-Quran serta kitab lama kepada pihaknya adalah penduduk setempat, sekolah agama, masjid serta pejabat-pejabat kerajaan di sekitar Batu Pahat, Kluang dan daerah-daerah berdekatan yang lain.

“Selepas menerima al-Quran atau kitab lama daripada orang ramai, tindakan pertama yang perlu dilakukan adalah mengasingkannya kepada dua bahagian sebelum diuraikan kepada helaian yang lebih nipis.

“Apabila setiap bahagian sudah mencapai berat 400 kilogram, kerja-kerja membakar akan dilakukan di dalam relau khas kira-kira 24 jam sebelum semua al-Quran atau kitab itu terbakar serta menjadi abu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang tiga tahun PQJ beroperasi, pihaknya sudah melakukan dua kali pembuangan abu al-Quran iaitu pada tahun 2016 berhampiran Pulau Pisang di Johor Bharu dan pada tahun lalu di pantai Minyak Beku di Batu Pahat.

Katanya, walaupun tugas melupuskan al-Quran atau kitab lama ini hakikatnya dilakukan oleh JAINJ, namun PQJ tampil sebagai pemudah cara dan melakukan kerja-kerja pelupusan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Saya dimaklumkan kini hampir setiap daerah di negeri ini mempunyai mesin relau pelupusan al-Quran dan saya melihat mesin ini sebagai keperluan memandangkan terdapat masalah untuk menghapuskan al-Quran sebelum ini terutama dari segi kos yang tinggi.

“Paling utama, mesin ini juga dapat memastikan semua penerbitan al-Quran lama dapat dilupus mengikut hukum syarak tanpa menimbulkan sebarang keraguan dalam kalangan umat Islam mengenai pelaksanaan proses tersebut,” katanya.