Bayar RM100 upah tangkap ikan secara haram

Bot dan semua suspek yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Bot dan semua suspek yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
A
A
A

SABAK BERNAM - Tindakan berani sekumpulan warga Indonesia yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram membawa padah apabila ditahan berhampiran perairan Sungai Besar di sini pada Sabtu.

Lima individu yang ditahan terdiri daripada seorang tekong dan empat kru itu turut mendakwa menerima bayaran antara RM50 hingga RM100 untuk melakukan aktiviti tersebut.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kesemua suspek ditahan menerusi pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan yang didapati berada kira-kira 52 batu nautika perairan Sungai Besar.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan menerusi rondaan rutin Op Ehsan kira-kira jam 12.50 tengah hari.

"Kesemua suspek ditahan merupakan lelaki warga Indonesia berumur antara 31 hingga 54 tahun yang didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

"Selain itu, pemilik bot berkenaan turut didapati menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Lima warga Indonesia yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram berhampiran perairan Sungai Besar pada Sabtu.
Lima warga Indonesia yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram berhampiran perairan Sungai Besar pada Sabtu.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas bot kelas C itu turut menemui pelbagai jenis ikan seberat 200 kilogram dan peralatan menangkap ikan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mendapati lima suspek mengaku bekerja dengan pemilik bot antara empat bulan hingga dua tahun serta dibayar gaji harian iaitu RM100 bagi tekong manakala RM50 kepada kru.

"Bot dan semua suspek dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi membanteras tindakan mana-mana pihak yang melanggar peraturan di laut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan rondaan akan terus dijalankan di perairan negara," katanya.