[VIDEO] Lari dari tahanan, dua warga Indonesia dipenjara 8 bulan

Tertuduh, Haji Samirudin (dua dari kiri) dan Riki Rinaldi (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin.
Tertuduh, Haji Samirudin (dua dari kiri) dan Riki Rinaldi (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin.
A
A
A

KULAI - [DIKEMASKINI] Dua tahanan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas pertuduhan melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Sesyen Kota Tinggi ke Penjara Ledang pada Selasa lalu.

Tertuduh, Riki Ranaldi, 40, dan Haji Samirudin, 36 dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Azureen Sahari Sauffee Afandi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati sengaja melarikan diri daripada jagaan Maritim Malaysia yang mana mereka telah ditahan secara sah di sisi bagi kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1963/56.

Kesalahan itu dilakukan ketika kedua-dua tertuduh di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai pada jam 10.50 pagi, 11 April.

Justeru itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tiga anggota Maritim Malaysia telah membawa empat lelaki warga Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang dengan menaiki sebuah van.

Semasa dalam perjalanan, kedua-dua tertuduh membuka gari berantai dan pintu belakang van lalu terjun melarikan diri.

Kemudian, tiga anggota Maritim Malaysia cuba mengejar kedua-dua tertuduh tetapi tidak berjaya kerana telah berpecah dan lari masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran jalan raya.

Sebelum itu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Edelynn memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan kedua- dua suspek yang melarikan diri itu, berjaya ditangkap semula dalam tempoh 24 jam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dengan kedua-dua tahanan telah menukar baju lokap yang dipakai dengan baju-T dan seluar jean dipercayai dicuri.

Kedua-dua tahanan itu mengalami cedera ringan selepas bertindak terjun dari van untuk meloloskan diri.