Shahidan sindir Zahid jadi presiden UMNO 'seumur hidup'

Tangkap layar kenyataan dimuat naik di Facebook Shahidan Kassim
Tangkap layar kenyataan dimuat naik di Facebook Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menjadi Presiden parti itu untuk 'seumur hidup'.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kerana jawatan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

"Saya mengucapkan tahniah kerana Presiden sebuah parti tidak perlu dipertandingkan.

"Saya mencadangkan beliau menjadi Presiden seumur hidup dan kes mahkamah ditangguhkan sehingga lima tahun supaya beliau boleh mentadbir negara dengan aman dan damai," dakwanya di Facebook pada Sabtu.

Shahidan juga mengucapkan takziah kepada perwakilan yang telah kalah dalam usul tambahan.

"Sekalung tahniah kerana berjaya membawa 'perwakilan import' yang dibawa masuk untuk kali ketiga.

'Jangan bimbang! Jumpa saya di Parlimen tanpa tolak ansur. Bye-Bye," dakwanya.

Pada Sabtu, usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Artikel Berkaitan:

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul berkenaan disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Shahidan merupakan bekas pemimpin UMNO yang dilihat tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu menggesa Ahmad Zahid berundur dan meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).