Dua pencemaran serentak hampir cetus gangguan air Selangor

Langkah meletakkan oil boom di kawasan longkang berhampiran lokasi kebakaran kilang bagi mengelak kesan kebakaran merebak ke sungai Selangor.
Langkah meletakkan oil boom di kawasan longkang berhampiran lokasi kebakaran kilang bagi mengelak kesan kebakaran merebak ke sungai Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua kes pencemaran sungai yang berlaku di lembangan Sungai Bernam dan Sungai Langat pada Jumaat hampir menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, tindakan pantas oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama agensi terlibat berjaya mengawal keadaan dan mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH) dan LRA Semenyih.

Keadaan sistem perparitan terdapat cecair hitam dan berminyak berhampiran lokasi kebakaran kilang di Semenyih.
Keadaan sistem perparitan terdapat cecair hitam dan berminyak berhampiran lokasi kebakaran kilang di Semenyih.

Menurutnya, kejadian pertama membabitkan kebakaran kilang plastik di Semenyih manakala kejadian kedua susulan pencemaran minyak diesel di Sungai Slim River, Perak.

"LUAS telah mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kedua-dua kawasan terlibat yang berisiko.

"Susulan pengesanan dan tindakan pencegahan segera oleh LUAS dan agensi terlibat, kedua-dua insiden ini berjaya ditangani segera.

"Tiada henti tugas LRA dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesedaran awam dan keprihatinan dalam kalangan rakyat terhadap persekitaran sumber air membolehkan tindakan segera dilakukan dan mengelak operasi LRA terjejas.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, komitmen bersama agensi di negeri bersempadan juga telah dapat bersama-sama membantu bagi pencegahan awal dan kesiapsiagaan dilaksanakan segera.

"Kerajaan Selangor dan LUAS sentiasa komited dan proaktif dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor.

"Kami menyeru semua pihak prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri dan perlu mempunyai kesedaran serta dan tanggungjawab untuk tidak menjadikan mana-mana kawasan sumber air terutamanya sungai sebagai tempat pelepasan atau pembuangan efluen," katanya.

Ujar beliau, kerjasama semua pihak diharapkan kerana pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama.