Tiga lelaki diberkas samun kedai runcit

Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat kes samun di sebuah kedai runcit di Ampang.
Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat kes samun di sebuah kedai runcit di Ampang.
A
A
A

AMPANG - Tiga lelaki ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah kedai runcit di Taman Keramat di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun itu pada jam 9.25 malam, Ahad.

"Pemilik kedai telah membuat laporan, dia mendakwa anggaran kerugian yang dialami kira-kira RM5,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, susulan daripada laporan itu, pihaknya telah menahan seorang suspek pada jam 9.45 malam, hari sama.

"Suspek berusia 35 tahun itu bekerja sebagai pembantu kedai aksesori kereta di Pandan Indah. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan MOP. Kita turut merampas pisau lipat yang digunakan untuk mencederakan mangsa, pakaian dan satu walkie talkie," katanya.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan dua lagi rakan suspek berusia 32 dan 39 tahun pada jam 8.45 malam dan 9.50 malam, pada Jumaat, di Selayang dan Bandar Sri Damansara.

"Kita turut merampas tiga buah telefon bimbit daripada kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut, ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan benzo," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek berusia 32 tahun adalah seorang penganggur dan mempunyai lapan rekod lampau termasuk tiga rekod masih dikehendaki polis atas kesalahan dadah.

"Manakala suspek berusia 39 tahun pula bekerja sebagai kelindan lori dan mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek yang ditangkap pada hari kejadian telah direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

"Dua lagi rakan suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang pada Sabtu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," ujarnya.