Ratusan ribu pelajar tercicir pendidikan pascapandemik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 100,000 hingga 500,000 pelajar di Malaysia dikhuatiri tercicir daripada sistem pendidikan pascapandemik Covid-19.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Untuk Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, sebelum pandemik Covid-19 melanda, Bank Dunia melaporkan, hampir 175,304 anak-anak sekolah rendah di Malaysia berada dalam kategori 'miskin pembelajaran' pada 2019.

Menurut NGO yang memperjuangkan kualiti pendidikan di Malaysia itu, terma 'miskin pembelajaran' digunakan oleh Bank Dunia untuk merujuk kepada golongan murid yang hadir ke sekolah, namun gagal membaca dan memahami perenggan yang mudah sewaktu berumur 10 tahun.

“Laporan tersebut juga menganggarkan satu peratus kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun tidak bersekolah.

“Ini bermakna sehingga 31,154 anak-anak di Malaysia keciciran dalam pendidikan," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, Bank Dunia menggunakan metrik ‘Purata Pembelajaran Berdasarkan Tahun Persekolahan’ bagi menilai kualiti pembelajaran di seluruh dunia.

Ujarnya, berdasarkan metrik berkenaan, tempoh pendidikan bagi pelajar di negara ini dijangka hilang sebanyak 1.24 tahun lagi.

“Ia bermakna ‘Purata Pembelajaran Berdasarkan Tahun Persekolahan’ sebenar Malaysia adalah 7.65 tahun sahaja pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Jika situasi ini benar, kanak-kanak di Malaysia hanya menerima pembelajaran berkualiti selama tujuh tahun setengah sahaja berbanding 11 tahun persekolahan mereka iaitu defisit pembelajaran berkualiti sehingga tiga tahun.

“Realitinya hari ini, untuk setiap 100 orang murid yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hampir pasti 18 daripadanya akan gagal,” katanya.

Tambah kenyataan itu, keciciran SPM hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai jenis keciciran pendidikan yang lain.

Jelasnya, antara bentuk keciciran lain termasuk keciciran literasi iaitu seramai 175,304 kanak-kanak di hujung usia persekolahan sekolah rendah di Malaysia tidak mahir membaca.

“Selain itu, berlaku juga keciciran Orang Asli iaitu untuk setiap lima anak Orang Asli, dua orang tidak menamatkan persekolahan hingga tingkatan lima.

“Seterusnya, keciciran prasekolah yang melibatkan 286,861 kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun keciciran prasekolah pada 2021.

“Antara lain juga termasuk keciciran gizi, iaitu 562,440 kanak-kanak bawah lima tahun bantut pada tahun 2019, dan keciciran orang kurang upaya (OKU) dengan 38,696 kanak-kanak golongan berkenaan tercicir pada 2022.

“Keciciran SPM, seramai 211,544 calon SPM sejak 2019 hingga 2021 keciciran sama ada kerana tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut mahupun kerana gagal mendapatkan sijil ekoran tidak berjaya lulus subjek Bahasa Melayu atau Sejarah,” jelasnya.

Untuk Malaysia turut mengambil inisiatif menghasilkan Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023 berdasarkan definisi jenis-jenis keciciran.

“Kami juga membuat jangkaan (optimistik dan pesimistik) untuk melihat secara makro krisis yang sedang tumbuh ini.

“Hampir dua tahun sebelum, Malaysia sepatutnya menginjak menjadi negara dengan ekonomi berpendapatan tinggi pada 2024, namun negara ini masih mencatatkan keciciran pendidikan seramai satu juta orang pada setiap 10 tahun,” katanya.