'Saya maafkan 10 MP tarik sokongan' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bersalaman dengan perwakilan Pemuda UMNO ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid bersalaman dengan perwakilan Pemuda UMNO ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia memaafkan 10 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) termasuk partinya yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau bersama-sama Lembaga Disiplin UMNO akan tetap memantau pergerakan ahli-ahli Parlimen terlibat.

"Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka telah bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya telah memaafkan apa yang telah berlaku.



"Saya akan terus bersama-sama dengan Lembaga Disiplin melakukan pemantauan terhadap pendirian mereka sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan.

"Tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama-sama dengan UMNO dan BN dalam mendukung Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke reruai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut laporan sebuah portal berita pada Rabu, Ahmad Zahid memaklumkan, enam daripada 10 ahli Parlimen daripada UMNO adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Empat ahli Parlimen lain termasuk wakil MCA, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, manakala daripada MIC, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan serta Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup (Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui pendedahan yang dibuat pada taklimat khas bersama 3,000 perwakilan parti pada Rabu adalah pendedahan secara tertutup.

"Saya juga yakin kesilapan langkah dulu adalah kerana situasi ketika itu tidak menentu, maka pendedahan yang saya buat pada majlis taklimat Presiden itu adalah pendedahan tertutup.



"Saya berkongsi maklumat kerana mereka harus tahu apa yang berlaku di sebalik penubuhan Kerajaan Perpaduan.

"Oleh kerana kita harus bergerak ke hadapan, maka yang terbaik bagi kita adalah untuk menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran kerana majlis tertinggi dan BN memutuskan semua gerakannya hendaklah dibuat secara satu pasukan," jelasnya.
Artikel Berkaitan: