[VIDEO] Serah kepada pengurusan tertinggi UMNO - Shahelmey

Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya di Sembulan, Kota Kinabalu.
Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya di Sembulan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyerahkan keputusan kepada pengurusan tertinggi UMNO untuk menangani isu berkaitan dakwaan tidak mengiktiraf ADUN UMNO yang dilantik dalam kabinet baharu Sabah.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menegaskan bahawa lantikan beliau dan ADUN UMNO yang lain dalam kabinet Sabah adalah prerogatif Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Itu adalah kenyataan daripada dia (Bung Moktar). Setakat ini, kita serahkan kepada pengurusan tertinggi UMNO Pusat untuk menangani isu terbabit.

"Lantikan jemaah menteri adalah prerogatif Ketua Menteri Sabah menurut Perlembagaan, jadi sebab itulah," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan daripada Bung Moktar dan adakah Bung Moktar berhubung dengan beliau mengenai pelantikan itu.

Menteri Kerja Raya itu berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada taklimat di Kementerian Kerja Raya di Pejabat kementerian berkenaan di Sembulan di sini pada Khamis.

Sementara itu, ditanya mengenai ada pihak yang cuba mempertikaikan keabsahan kerajaan yang dipimpin Hajiji menerusi rombakan kabinet, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Ketua Menteri tetap mempunyai 44 sokongan ADUN.

"Bagaimana dia pertikaikan, pertikaikan dari sudut apa? Datuk Seri Hajiji mempunyai sokongan 44 ADUN, jadi lebih daripada majoriti mudah dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun telah menyatakan sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Jadi keabsahan apa lagi? Kalau kita lihat daripada sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah kita lalui pada Selasa, yang mana bila kita bentang Rang Undang-Undang (RUU) tenaga dan gas, RUU itu diluluskan oleh 44 ADUN dan itu merupakan bukti bahawa Ketua Menteri mendapat sokongan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mendakwa pelantikan dua portfolio menteri baharu termasuk Timbalan Ketua Menteri, tidak mewakili UMNO dan tidak diiktiraf oleh UMNO Sabah.

Beliau mendakwa keputusan itu dilihat membelakangkan parti dan mereka hanya mewakili individu untuk kepentingan diri masing-masing tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.