PRN Melaka: Pemuda BN Perak guna pendekatan berbeza 'birukan' Melaka

Nazirul
Nazirul
A
A
A

IPOH – Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan pendekatan berbeza dalam membantu jentera pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding beberapa siri PRN sebelum ini.

Ketua Pemuda BN Perak, Nazirul Jamaluddin berkata, dengan tumpuan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang dan Paya Rumput, persiapan kali ini dibuat berdasarkan pengalaman jentera negeri itu membantu kempen pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Menurutnya, pendekatan yang akan digunakan di Melaka itu berdasarkan penelitian awal terhadap demografi dan kecenderungan pengundi muda di negeri berkenaan.

"Kalau ikutkan hasil tinjauan dan penelitian awal di sana memang keadaannya agak berbeza. Konsep kita akan berbeza daripada Johor dan Negeri Sembilan.

"Melaka ini akan sangat berbeza kerana kita mahu menggunakan pendekatan yang khusus untuk anak muda di negeri itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Nazirul berkata, seramai 20 orang jentera Pemuda BN Perak akan ditempatkan secara tetap di Melaka sepanjang PRN berlangsung manakala anggota lain akan digerakkan secara berkala mengikut jadual program yang disusun.

Katanya, pergerakan jentera dijadualkan bermula minggu ini termasuk pelancaran serta gerak kerja pilihan raya bagi Parlimen Tangga Batu pada 17 haribulan.

Nazirul berkata, komitmen ditunjukkan kepimpinan Pemuda Melaka turut menjadi antara faktor yang mendorong keyakinannya terhadap usaha menarik sokongan golongan muda.

"Kita melihat komitmen anak muda dan kepimpinan Pemuda BN Melaka mempunyai aura tersendiri.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, saya yakin gelombang biru itu akan berlaku di Melaka dan seterusnya ke negeri-negeri lain,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak.

Mengulas pengaruh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, beliau tidak menafikan faktor kepimpinan itu turut memainkan peranan dalam menggerakkan sokongan anak muda.

Menurutnya, aura Muhammad Akmal bersama gerak kerja lebih tersusun oleh Pemuda BN Melaka dan jentera dari negeri lain yang turun membantu dijangka memberi impak terhadap kempen BN.

“Dengan aura Dr Akmal serta gerak kerja lebih tersusun oleh Pemuda Melaka dan pemuda dari seluruh negeri yang turun membantu, saya melihat usaha kali ini akan memberi impak lebih besar kepada gelombang biru itu sendiri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober, undi awal 10 November dan hari mengundi pada 14 November, selepas DUN dibubarkan berkuat kuasa 23 September.

PRN Melaka pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi manakala Pakatan Harapan memenangi lima kerusi dan dua kerusi lagi milik Perikatan Nasional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!