[VIDEO] Pelantikan, pertukaran portfolio diharap reda politik Sabah

Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas hadir pada upacara angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Rabu.
Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas hadir pada upacara angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Rombakan kabinet dengan pelantikan muka baharu serta pertukaran portfolio dalam kerajaan Sabah diharap dapat meredakan kemelut politik yang melanda Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau perlu menumpukan perhatian terhadap tugasnya dalam Kementerian Kerja Raya.

"Saya bukan delegasi (perwakilan) UMNO, memandangkan saya terlibat dalam portfolio baharu, jadi saya perlu beri tumpuan.

"Insya-ALLAH (menamatkan kemelut) sepatutnya meredakan keadaan dan fokus kerja dalam dua tahun lagi sebelum tempoh berakhir," katanya kepada pemberita selepas hadir pada upacara mengangkat sumpah bagi kabinet menteri baharu di Istana Seri Kinabalu pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah beliau hadir di Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur dan adakah pelantikan baharu itu akan menamatkan kemelut Sabah.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa statusnya masih sebagai ahli UMNO dan belum ada sebarang berita daripada pihak pengurusan parti.

Ditanya mengenai rombakan kabinet baharu, beliau berkata pelantikan berjalan dengan lancar di mana tiga muka baharu dilantik dalam kabinet Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Pelantikan hari ini berjalan lancar, angkat sumpah tiga orang muka baharu iaitu Datuk James Ratib (ADUN Sugut), Datuk Christina Liew (ADUN Api-Api) dan Phoong Jin Zhe (ADUN Luyang) untuk portfolio baharu dan juga rombakan kabinet yang melibatkan saya sendiri.

"Ini merupakan satu daripada formula Kerajaan Perpaduan dengan rombakan kabinet yang baharu saja diumumkan, ia telah memasukkan tiga muka baharu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dua dari PH, satu BN.

"Sudah tentu Parti Warisan (Warisan) dan satu kumpulan yang telah adakan penentangan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, itu memang kita telah persetujui bersama kita tidak akan terima mereka.

"Jadi mereka kena terima hakikat 'cooling off' jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan negeri Sabah dulu. Bila tiba masanya, penggal tamat jadi kita dapatkan mandat daripada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai tugasan yang bakal dipikulnya, beliau berkata, banyak isu yang perlu diselesaikan terutama membabitkan jalan raya dan air.

"Saya telah berpindah daripada Kementerian Pembangunan Masyarakat kepada Kementerian Kerja Raya selaku Timbalan Ketua Menteri III jugalah.

"Ini merupakan tugasan yang lebih berat memandangkan kementerian ini adalah kementerian yang besar dan sebagaimana kita ketahui banyak isu-isu yang sedang atau perlu ditangani dan diselesaikan seperti jalan raya, air dan sebagainya.

"Esok pagi saya akan terima taklimat daripada kementerian dan dari situ kita akan bergerak," katanya.