Perkukuh pentadbiran negeri, Pas Pahang tawar diri jadi rakan strategik

KUANTAN – Pas Pahang menawarkan diri untuk menjadi rakan strategik dengan membawa pendekatan semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Yohanis Ahmad berkata, pembangunan sesebuah negeri memerlukan sinergi pemikiran dan perkara itu hanya dapat dicapai apabila pemimpin bersedia duduk semeja dengan jiwa yang lapang.
“Senada dengan ketetapan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abd Jabar, saya mengalu-alukan tawaran penyatuan ummah yang diasaskan atas nilai persahabatan sejati dan tadbir urus yang membina,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kerjasama antara pemimpin perlu diperkukuh melalui kesediaan untuk duduk semeja, bertukar pandangan serta menerima teguran secara terbuka demi kepentingan rakyat.
Jelasnya, sikap sahabat yang ikhlas bukan sekadar memuji, tetapi juga bersedia menasihati dan menampung kelompangan antara satu sama lain.
“Kami menawarkan diri untuk menjadi rakan strategik yang membawa budaya semak dan imbang secara berhikmah.
“Jika wujud sebarang kekurangan dalam tadbir urus sebelum ini, perkara itu boleh diperbaiki secara harmoni tanpa perlu merugikan rakyat,” katanya.
Yohanis memaklumkan teguran dan pandangan yang dibawa bukan untuk menidakkan sumbangan mana-mana pihak, tetapi bagi menyempurnakan usaha murni memakmurkan negeri itu.
“Data peralihan undi atau unjuran kemenangan selesa Perikatan Nasional (PN) hanyalah angka di atas kertas. Apa yang lebih utama adalah mengelakkan perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat, khususnya pengundi asas kita.
“Besarlah harapan kami agar ikhtiar murni ini menjadi titik pertemuan yang menyatukan hati kita semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

