Bung Moktar digugurkan, Shahelmey dilantik TKM

Shahelmey, Bung Moktar
Shahelmey, Bung Moktar
A
A
A
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Bung Moktar Radin sah digugurkan daripada kabinet kerajaan Sabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.

Bung Moktar sebelum ini memegang portfolio Timbalan Ketua Menteri Sabah I dan Menteri Kerja Raya telah digugurkan dalam rombakan kabinet yang baharu.

Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah namun portfolio beliau sebagai Menteri Kewangan kini dipegang oleh Datuk Seri Masidi Manjun yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Kementerian yang diterajui Masidi itu pula kini dipegang oleh Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II manakala Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan kekal dipegang oleh Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif kini memegang portfolio sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengantikan ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan.

ADUN Sugut Datuk James Ratib dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan ADUN Api-Api dari Pakatan Harapan (PH) Datuk Christina Liew Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi mengantikan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin.

Christina ketika kerajaan Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini pernah memegang jawatan berkenan.

Seorang lagi ADUN PH yang membarisi kabinet baharu iaitu ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang dipegang Joachim sebelum ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Belia dan Sukan kekal dipegang oleh Datuk Jahid Jahim dan Datuk Ellron Angin.
Artikel Berkaitan:


Sebelum itu, Hajiji memaklumkan akan ada rombakan kabinet baharu bagi kerajaan Sabah.

Rombakan itu dipercayai susulan daripada kemelut politik yang melanda Sabah berikutan pengumuman Bung Moktar yang menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberitahu media bahawa keputusan untuk menyelesaikan kemelut politik ditentukan pimpinan Sabah sendiri.

Beliau bagaimanapun menyarankan Kerajaan Perpaduan diwujudkan selepas pertemuannya dengan ketua-ketua parti politik di negeri ini pada Isnin lalu.