'Tabiat suka berhutang bakal jerat rakyat Malaysia'

Herizal Hazri
Herizal Hazri
A
A
A

SHAH ALAM - Kehidupan suka berhutang sebilangan besar rakyat Malaysia dijangka akan membawa kesan mudarat kepada mereka, ketika negara berhadapan dengan cabaran ekonomi global.

Penganalisis Ekonomi, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Herizal Hazri berkata, untuk kebaikan bersama rakyat disaran untuk mengubah gaya hidup bagi memastikan kelestarian kehidupan mereka berpanjangan, di samping dapat mengelak 'malapetaka' di kemudian hari.

Tegasnya, kebiasaan tabiat suka berhutang ini perlu segera diubah mulai sekarang kerana tahun ini dijangka menjadi tahun mencabar buat semua.

"Di Malaysia ini kita ada satu kebiasaan menggunakan kredit (berhutang), kita beli kereta berhutang, rumah hutang, semua 'beli dahulu, bayar kemudian', telefon pun berhutang.

"Hampir kebanyakan kita beli secara hutang, jadi apabila kita selalu terbiasa keadaan ini kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kemungkinan kita tidak berapa mampu.

"Jadi nasihat saya adalah dalam keadaan sukar ini kita harus faham di mana kemampuan kita, misalnya kalau kita tidak boleh melancong ke luar negara, kita melancong dalam negara. Kena faham kemampuan kita di mana, dalam waktu yang sukar ini persoalan itu harus kita tanya dan betul-betul pasti sebelum membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rakyat susah, salah siapa?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pada Rabu.

Tambahnya, beliau memahami sikap kebanyakan rakyat namun sikap berdisiplin dalam mengurus kewangan dituntut ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Apa-apa pun, kita harus mengimbangi juga kehidupan tak salah untuk pergi melancong sebab takut stres, kalau stres nanti 'hilang' pula produktiviti," katanya.

Persekitaran ekonomi global dijangka amat mencabar tahun pada tahun ini di mana perkembangan luaran berisiko untuk mencetuskan kelembapan ekonomi dan Malaysia sebagai ekonomi terbuka sudah pasti tidak dapat mengelak daripada terkesan.

Terbaharu menurut laporan Bank Dunia, ekonomi global semakin hampir diancam kemelesetan tahun ini susulan pertumbuhan lebih lemah di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!