Bekas tentera gagal batal keputusan dipecat kerana enggan divaksin

Seorang bekas sarjan tentera yang diberhentikan perkhidmatannya selepas menolak vaksinasi Covid-19, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu. Gambar kecil: Wan Ramli Wan Seman - Foto Sumber Facebook.
Seorang bekas sarjan tentera yang diberhentikan perkhidmatannya selepas menolak vaksinasi Covid-19, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu. Gambar kecil: Wan Ramli Wan Seman - Foto Sumber Facebook.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menolak permohonan semakan kehakiman oleh seorang bekas sarjan tentera terhadap keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menamatkan perkhidmatannya kerana tidak mengambil vaksin Covid-19, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas mendapati TDM telah mewajibkan pengambilan vaksin terhadap anggotanya termasuk pemohon, Wan Ramli Wan Seman, adalah wajar.

Ketika membaca keputusan ringkasnya, Ahmad Kamal berkata, mahkamah dimaklumkan bahawa perintah vaksinasi untuk mengambil vaksin Covid-19 telah dikenakan ke atas semua anggota TDM melalui surat bertarikh 3 Mac 2021.

Berdasarkan perintah itu, vaksinasi Covid-19 diwajibkan kepada semua anggota kecuali golongan yang tidak layak antaranya mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital akibat alahan teruk dan mereka yang mengalami reaksi alahan teruk selepas menerima dos pertama vaksin.

Beliau berkata, tindakan tatatertib boleh diambil bagi anggota yang ingkar.

Katanya, perintah vaksinan telah diedarkan kepada semua anggota di Batalion 24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Rasah, Seremban di mana Wan Ramli selaku pemohon yang masih berkhidmat.

Namun, pemohon telah jelas mengingkari peraturan itu apabila enggan divaksin mengikut perintah vaksinasi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati bahawa pengeluaran perintah itu adalah seimbang dengan kepentingan individu dan angkatan tentera, iaitu bagi memastikan risiko jangkitan di kalangan anggota dapat dikurangkan selain mengelakkan wujudnya kluster di kalangan anggota.

Memandangkan pemohon telah gagal memberikan apa-apa bahan yang berkaitan untuk mengecualikan dirinya daripada divaksinasi, beliau berkata, pemohon bertanggungjawab untuk mematuhi perintah vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

“Saya berpandangan bahawa, keputusan responden memecat pemohon, dengan mengambil kira ketidakpatuhannya adalah dibuat mengikut undang-undang.

“Malah, perintah terhadap TDM adalah mandatori kerana mereka tinggal secara berkumpulan, dan mereka berdepan kebarangkalian yang tinggi, untuk dijangkiti Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah wajar semua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan wabak itu daripada diri, keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, sebagai anggota TDM, pemohon hendaklah mengetahui bahawa sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi perintah sebagai mana tertakluk dalam Akta Angkatan Tentera 1972.

“Secara keseluruhan, mahkamah mendapati keputusan yang dibuat oleh responden telah dibuat mengikut undang-undang dan tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Pada 27 September 2021, Wan Ramli memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan TDM memberhentikan perkhidmatannya, selepas menolak untuk mengambil vaksin Covid-19.

Wan Ramli yang pernah bertugas di batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Rasah, Negeri Sembilan, menamakan Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin; Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri; Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.

Dalam kes ini, pemohon diwakili peguam, Yasmeen Soh Sha-Nisse dan Phyllia Lim manakala responden dibarisi Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly serta Peguam Persekutuan, Liyana Muhammad Fuad.