Kerajaan Perpaduan beri nilai tambah landskap politik

Ahmad Zahid melambaikan tangan kepada media yang berkumpul di luar Dewan Merdeka selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Ahmad Zahid melambaikan tangan kepada media yang berkumpul di luar Dewan Merdeka selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu memberi nilai tambah kepada landskap politik Malaysia selain manfaat kepada rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, menurut presiden, kekuatan BN jika dicampur dengan kekuatan PH akan membuahkan satu formula yang baharu untuk negara ini dan rakyat Malaysia.

"Pada pandangan saya, nilai-nilai konservatif UMNO selama 70 tahun wujud di negara ini ditambah dengan nilai-nilai reformasi yang pragmatik dan progresif PH akan membolehkan Kerajaan Perpaduan memberikan tawaran nilai-nilai baharu kepada politik dan rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Rahman berkata, perkara itu antara yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Taklimat Khas Presiden secara tertutup yang dihadirinya bersama 3,000 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Rabu.

Abdul Rahman berkata, kekuatan setiap individu yang mewakili parti masing-masing dalam Kerajaan Perpaduan akan memberikan tawaran terbaik sekali gus mengalahkan tawaran yang dibuat oleh parti lawan.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Ahmad Zahid menekankan supaya tidak lagi berlaku pengkhianatan dalam parti terbesar Melayu itu.

"Perkara yang presiden tekankan bahawa dia tidak mahu dalam parti UMNO ini berlaku pengkhianatan seperti menyokong parti-parti lain dan semua perwakilan juga telah menerima secara sebulat suara Kerajaan Perpaduan ini,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula berkata, dalam taklimat itu, Ahmad Zahid menyatakan hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun tidak akan lari daripada prinsip memperjuangkan agama, perlembagaan, membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada kompromi dalam perjuangan ini. Presiden juga menggariskan tentang beberapa kronologi sehingga mengapa UMNO buat keputusan untuk bekerjasama dengan (PH) (untuk bersama) Kerajaan Perpaduan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, taklimat itu turut menyentuh mengenai perpaduan dalam parti bagi menentukan hala tuju serta masa hadapan UMNO khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

"Dengan penyatuan dan hala tuju baharu yang akan diperkenalkan presiden selepas ini, kita boleh memperkukuhkan parti kembali untuk bersaing pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, taklimat khas itu telah menjawab persoalan dalam kalangan ahli berhubung isu semasa berkaitan parti terutamanya dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

"Presiden membuat penjelasan dengan baik sekali kepada ahli-ahli tentang keadaan politik semasa termasuk komitmen sama ada di Sabah atau di tempat-tempat lain supaya UMNO terus diperkukuhkan dalam konteks suasana baharu Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini,” katanya.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati hadir ke perhimpunan kali ini, sementara 1,117 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita; 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri yang akan dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!