Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bina kolaborasi lebih utuh

Asyraf Wajdi (tengah) semasa sidang media pada Jumaat.
Asyraf Wajdi (tengah) semasa sidang media pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei ini akan menjadi titik tolak kolaborasi yang lebih utuh membabitkan 19 parti dalam gabungan itu.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen itu yang akan menghimpunkan lebih 10,000 perwakilan dan penyokong menunjukkan kerajaan mempunyai matlamat yang jelas, dalam memastikan kestabilan politik akan terus dipertahankan.

Menurutnya, majlis yang julung kali diadakan itu dijangka akan terus memperkukuh perpaduan dan kerjasama sehingga ke peringkat akar umbi antara parti yang membentuk kerajaan.

"Konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi lebih kukuh di peringkat parti dengan matlamat yang jelas bagi memastikan kestabilan politik dapat dipertahankan.

"Kita tak mahu peristiwa lampau berulang. Cukuplah dalam empat tahun setengah ketidakstabilan politik, kerajaan berubah tiga kali yang memedihkan rakyat daripada segi pelaburan, ekonomi dan sebagainya.

"Ia akan menjadi pentas terbaik untuk pimpinan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan tekad dan keazaman secara bersama bagi memastikan komitmen dan agenda yang akan dilaksanakan didukung sepenuhnya parti di semua peringkat," katanya dalam sidang akhbar berkenaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, di sini pada Jumaat.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO menambah, konvensyen itu membawa tema Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia dan akan berlangsung bermula jam 10 pagi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Konvensyen sehari itu akan melibatkan dua persidangan serentak iaitu Konvensyen Nasional Pemuda dan Puteri serta Konvensyen Nasional Wanita yang akan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Konvensyen utama akan diadakan pada sebelah petang, bermula pada jam 2 petang.

"Ia akan dimulakan dengan sidang bicara rakyat membabitkan tiga sesi, dengan setiap wakil parti akan membentangkan mengenai komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

"Konvensyen utama ini akan dihadiri semua presiden parti gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kemuncaknya adalah amanat daripada Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan berakhir dengan deklarasi konvensyen," katanya.

Beliau menjelaskan, konvensyen itu penting bagi memastikan kesepakatan pimpinan di peringkat pusat turut diterjemahkan sehingga ke peringkat akar umbi.

Justeru, konvensyen itu akan turut dilaksanakan di setiap negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperkukuh kerjasama parti gabungan di peringkat bawahan.