Al-Kahfi solusi kehidupan

Wan Azizah menerima plak daripada Muhamad Nordin (kiri) disaksikan Mohd Ajib pada program World Convention Al-Kahf di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam. - Foto: ROSLI TALIB
Wan Azizah menerima plak daripada Muhamad Nordin (kiri) disaksikan Mohd Ajib pada program World Convention Al-Kahf di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam. - Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengalaman berdepan pelbagai onak dan duri dalam memperjuangkan reformasi serta menuntut keadilan untuk suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua dekad banyak mengajar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail erti kesabaran.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, beliau tidak menyangka perjuangannya dalam landskap politik mampu mencecah tempoh masa sedemikian.

"Saya membayangkan peristiwa pada 1998 mungkin berlaku selama enam bulan atau setahun tetapi, siapa sangka ia berlarutan selama 20 tahun.

"Bagaimanapun, perkara ini tidak membuatkan saya berputus asa kerana berbekalkan amalan surah al-Kahfi ia mendidik kita erti kesabaran dan kekuatan dalam menempuh pelbagai dugaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan World Convention Al-Kahf sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Adib Ismail.

Mengulas lanjut, Wan Azizah menyifatkan program seumpama itu perlu diteruskan dalam usaha mentadabbur ayat-ayat ALLAH SWT daripada surah demi surah al-Quran khususnya surah al-Kahfi.

"Di KPWKM, saya mengarahkan penganjuran program tadabbur surah An-Nuur sebagai permulaan memandangkan surah tersebut selari dengan matlamat kementerian.

Artikel Berkaitan:

"Melalui tadabbur surah An-Nuur, saya turut menggesa diekstrak pengajarannya dan dibina satu modul pelaksanaan gerak kerja yang tuntas dengan keperluan masyarakat semasa," jelasnya.

World Convention Al-Kahf merupakan inisiatif Jawi, Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Program berkenaan memfokuskan kepada aktiviti tadabbur al-Quran melalui kaedah membaca, memahami dan mengaplikasikan saranan serta ibrah yang terkandung khususnya dalam surah al-Kahfi sebagai solusi dan panduan kehidupan seharian.

Kira-kira 1,200 peserta meluangkan masa menghadiri program tersebut dalam usaha mendekatkan diri dengan al-Quran.

Selain Wacana Al-Kahf, World Convention Al-Kahf turut menganjurkan pelbagai majlis ilmu yang disediakan secara percuma kepada para pencinta al-Quran.

Antaranya ialah Quran Moment, Pesan Ulama', Tadabbur Surah Al-Kahfi dan segmen Motivasi Diri.

Pada masa sama, ruang pameran berkaitan al-Quran termasuk sudut fotografi bagi memberi peluang kepada orang ramai bergambar sebagai kenangan menghadiri konvensyen.