Kertas siasatan penonton maut di peringkat akhir

Laporan daripada portal Sinar Harian mengenai kemalangan maut di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak pada 31 Disember lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri
Laporan daripada portal Sinar Harian mengenai kemalangan maut di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak pada 31 Disember lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seramai sembilan saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung insiden penonton maut ketika menyaksikan satu acara perlumbaan di Litar Dato Sagor, Pasir Salak pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kejadian itu kini di peringkat akhir untuk disiapkan.

"Kita menyiasat secara terperinci perkara ini dengan memanggil saksi bebas di tempat kejadian. Sembilan saksi utama termasuk penganjur dan pegawai terlibat telah dipanggil.

"Siasatan berada di peringkat akhir untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan parkir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.

Beliau turut menasihatkan mana-mana penganjur sukan ekstrem supaya menjadikan kejadian itu sebagai satu iktibar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Penganjur mestilah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.

"Perkara ini ada dalam SOP penganjur dan kejadian seumpama ini tidak akan berulang di masa akan datang," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dirempuh sebuah kereta Proton Satria yang hilang kawalan ketika berada berhampiran garisan penamat pada pertandingan melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, polis masih menunggu laporan kimia sampel darah pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan dua beranak di Tebuk Rimba, Simpang Empat, Semanggol pada Ahad.

"Sampel semua termasuk mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut itu telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut. Kita masih menunggu laporan daripada pihak berkenaan.

"Berhubung keadaan pemandu kereta, dia dalam keadaan stabil dan siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan saksi-saksi bebas," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bersama ibunya maut apabila lori dinaiki dipercayai membawa barang niaga terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

Kejadian sekitar jam 7.30 malam itu mengorbankan Shahren Ismail, 37, dan ibunya Zainab Alias, 64.

Siasatan awal polis mendapati kereta Toyota Yaris yang dipandu doktor berusia 28 tahun secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dinaiki dua beranak berkenaan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.