Polis buka kertas siasatan tuntutan waris kesultanan Sulu

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) terhadap sekumpulan penuntut yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan itu dibuat susulan tuntutan oleh kumpulan tersebut melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.

Menurutnya, kumpulan tersebut membuat tuntutan melibatkan anggaran melebihi AS$32 bilion (RM147.728 bilion).

"Tuntutan yang dibuat itu merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.

"Susulan laporan polis tersebut, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124(K) Kanun Keseksaan kerana sabotaj," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tegas beliau, PDRM memandang serius sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap negara.

Katanya, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan terperinci berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan.