Lelaki rosak mesin ATM didakwa di mahkamah

Manoharan (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan khianat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Manoharan (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan khianat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan seorang lelaki merosakkan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Lukut pada Isnin lalu membawa padah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Tertuduh P Manoharan, 50, mengaku bersalah atas pertuduhan khianat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan khianat iaitu merosakkan skrin mesin ATM di sebuah bank di pekan Lukut, Port Dickson dengan cara menumbuknya pada jam 11.10 pagi 9 Januari lalu .

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, Manoharan mengaku tindakannya adalah salah tetapi ia dilakukan disebabkan duit tidak dapat dikeluarkan dari mesin ATM.

"Masa ambil duit, duit tidak keluar, memang saya salah dan minta rayu," katanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), Iwana Sakinah Mohd Lajis merayu wang jaminan dikurangkan kerana isteri tertuduh hanya suri rumah serta perlu menanggung empat anak termasuk dua daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dan 8 Februari depan untuk dibacakan fakta kes serta hukuman di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tertuduh ditahan pada jam 11.30 pagi di hadapan Bank CIMB Lukut selepas polis menerima aduan daripada pembantu pengurus bank iaitu seorang wanita berusia 54 tahun berhubung tindakannya.

Jumlah kerugian akibat kerosakan mesin ATM itu dianggarkan lebih kurang RM500.