Panas baran yang membawa padah

No Image Caption
A
A
A

DISEBABKAN sikap panas baran, dia hilang kawalan dan mendapat cemuhan daripada rakyat Malaysia.

Itu realiti yang terpaksa dihadapi seorang lelaki susulan tindakannya mengasari seorang pemandu wanita ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah, minggu lalu.

Penyelia kilang berusia 29 tahun itu akhirnya meringkuk di penjara selama tujuh hari selepas mengaku bersalah di atas perbuatan barannya itu.

Sekiranya terbit sedikit rasa sabar, tanpa perlu ‘naik tangan’, isu yang berlaku akibat rasa tidak puas hati di jalan raya itu sudah pasti berakhir dalam situasi lebih baik.

Bak kata pepatah, nasi telah menjadi bubur, terlajak kata dan tindakan sudah tentu tidak boleh lagi diundur.

Apatah lagi kita berada di zaman teknologi yang memberikan kuasa perkongsian maklumat tinggi di platform media sosial terutama Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok.

Rakaman berdurasi 59 saat yang memaparkan situasi kes itu begitu cepat tersebar dan menjentik emosi serta reaksi orang awam.

Bermula dari episod tular itu, rakyat mula mendesak tindakan tegas diambil yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit, seterusnya pendakwaan di mahkamah.

Rentetan kisah lelaki menerima julukan ‘abang sado baju merah’ ini boleh dijadikan satu pengajaran besar kepada masyarakat.

Menunjukkan bahawa fitrah sebagai manusia memang tidak dapat lari daripada memiliki sifat marah.

Bagaimanapun, sikap marah bukanlah jalan penyelesaian masalah kerana adakalanya hanya menyebabkan keadaan menjadi semakin rumit.

Dalam satu penulisan pada 2021 dinyatakan panas baran adalah penyakit jiwa yang sering membawa kepada implikasi lebih buruk seperti pergaduhan dan penderaan.

Berlaku di Sarawak, seorang lelaki mendapat balasan apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan atau denda RM2,500 atas kesalahan mengamuk sehingga menyebabkan sebuah premis makanan kerugian RM300.

Di Terengganu berlaku kes abang terpaksa meringkuk di penjara selama dua tahun setelah memukul adik lelakinya menggunakan sebatang besi di kediaman mereka.

Di Selangor dilaporkan tahun lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera anak kembar lelakinya berusia 11 tahun dengan menampar serta menumbuk pada bahagian muka dan badan.

Ironinya semua kes itu terjadi akibat sikap panas baran dan kegagalan mengawal perasaan marah hingga mendorong tindakan di luar kawalan.

Perkara sedemikian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur mahupun hubungan kekeluargaan.

Dalam satu kajian ada dinyatakan bahawa sikap panas baran melampau mampu menjadi ‘bom jangka’ yang berpotensi menyebabkan individu itu bertindak ganas sehingga mengakibatkan kematian.

Kebiasaannya individu ini cepat tertekan dan lebih gemar bertindak melulu menyelesaikan konflik dihadapinya sehingga menyebabkan perbuatan ganas.

Antara kejadian yang boleh dirujuk ialah kes seorang ibu yang sanggup menghempas bayinya yang berusia 19 bulan ke lantai sehingga mati pada tahun 2016 dan seorang lelaki dipukul hingga mati hanya kerana kereta dipandunya terlanggar kenderaan diletakkan di tepi gerai makan.

Sebaiknya, apabila diri mula dijentik perasaan marah, kawal dan alihkan dengan mengingatkan diri sendiri akan akibat, hukuman serta risiko yang dihadapi kelak.

Islam sebagai agama indah amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apatah lagi berkelakuan baran keterlaluan.

Tindakan baran itu hanya akan mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri.

Rasulullah SAW bersabda, kekuatan diri seseorang itu bukannya kerana dapat mengalahkan orang lain dengan fizikal, tetapi orang yang mampu mengawal dirinya dalam keadaan sedang marah.

* Normawati Adnan ialah Wartawan Sinar Harian Perak